Mayat Remaja hilang ditemui di sungai Kg Sekudung Serusup, di Tuaran

Mayat mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira enam kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang.



KOTA KINABALU: Remaja lelaki yang hilang ketika mandi bersama tiga rakannya di sungai Kampung Sekudung, Serusup, di Tuaran, Jumaat lalu, ditemui meninggal dunia.

Mangsa, Mohamad Amar Qayyum Rasmi, 15, ditemui terapung, selain tersangkut di kawasan bakau oleh penduduk kampung, kira-kira enam kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata operasi mencari mangsa masuk hari ketiga bermula jam 6.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, mangsa dilaporkan ditemui orang awam pada jam 8.13 pagi yang kemudiannya memaklumkan kepada pos kawalan tempat kejadian (PKTK).

“Pasukan bomba kemudian segera bergegas ke lokasi dengan memakai kelengkapan PPE (set pakaian pelindung diri) untuk mengambil mayat mangsa.


Anggota bomba menyerahkan mayat mangsa kepada polis.
“Sebaik berjaya dikeluarkan daripada kawasan bakau, mayat mangsa segera dibawa balik ke PKTK, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, Jumaat lalu, mangsa dilaporkan hilang ketika mandi bersama tiga rakannya.


Anggota bomba dan penyelamat mencari remaja tersebut di sepanjang sungai Kg. Sekudung Serusup.
Operasi pencarian kemudiannya terus dilancarkan namun terpaksa ditangguhkan dua kali akibat keadaan cuaca gelap dan tidak mengizinkan. – FMT

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.