FANZI (kiri) ketika menyertai cabaran TikTok. |
Kuala Lumpur: Penyanyi Fanzi Ruji, 33, masih tidak menjangka berjaya menewaskan lebih 4,200 penyanyi lain dari seluruh dunia selepas dinobatkan pemenang cabaran TikTok anjuran komposer Amerika Syarikat, David Michael Frank, baru-baru ini.
Fanzi atau nama sebenarnya Mohd Rifanzie Ruji berjaya memukau bekas anggota band Future Sunsets itu dengan nyanyian hebatnya menerusi cabaran Heart Attack High Note Singing Contest.
Pemuda kelahiran Ranau, Sabah itu menyifatkan kejayaan berkenaan antara pencapaian besar dan termanis buatnya sepanjang karier nyanyian.
"Sepanjang bergelar penyanyi, niat saya cuma satu iaitu untuk menjual bakat sejauh yang boleh dan tarik lebih ramai orang menyedari kemampuan nyanyian saya. Saya rasakan ini adalah rezeki terpijak kerana kemenangan itu sekali gus memperkenal nama saya di peringkat antarabangsa.
"Sejujurnya, jumlah pengikut saya di TikTok dan Instagram pun naik mendadak sebaik berita kemenangan ini. Meskipun ia cuma peluang yang dicapai secara maya, namun sangat-sangat bermakna buat saya.
"Saya juga semakin banyak mendapat komen bukan saja peminat dari Malaysia bahkan dari luar negara juga. Mereka memberikan kata semangat, cadangan, serta komen-komen positif sekali gus membuatkan saya berkobar terus tunjukkan kualiti bakat saya," katanya.
Penyanyi lagu Hati Nan Raput yang bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music itu juga bersyukur peluangnya semakin terbuka untuk menempa nama lebih jauh. Ia kerana Frank sendiri terus mengajaknya bekerjasama lagi untuk sebuah projek lagu.
"Selepas kemenangan itu, kami terus berhubung untuk membincangkan projek lagu 'cover version' akan datang. Bagaimanapun, sekarang kami masih dalam proses mencari lagu yang sesuai.
"Bagi saya, walaupun kerjasama ini cuma berlaku secara maya, ia pasti menjadi pintu terbaik mengembangkan nama saya. Mana tahu, peluang besar lain di peringkat antarabangsa akan datang pula nanti," katanya.
Terdahulu, Fanzi diumumkan pemenang oleh Frank dalam cabaran yang disertai 4,277 penyanyi seluruh dunia itu. Video nyanyian duet mereka untuk lagu Heart Attack yang dipopularkan oleh Demi Lovato mendapat tontonan sebanyak 3 juta orang.
Asalnya, Fanzi menyertai cabaran terbabit secara suka-suka dan sekadar membuat video TikTok biasa untuk akaunnya. Rupanya penyertaan itu diambil kira Frank apalagi nyanyian mendapat pujian luar biasa.
Post a Comment