Pemimpin politik Sabah, Sarawak tiba di Perdana Putra

Kenderaan yang membawa Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Tun Openg tiba di Bangunan Perdana Putra hari ini untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri. - Foto Bernama

Muhyiddin jumpa pemimpin GPS, GRS petang ini



Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengadakan mesyuarat khas bersama pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) dari Sabah dan Sarawak, kira-kira 5 petang ini di Putrajaya.

Perkara itu hangat diperkatakan selepas satu mesej tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam mengatakan ketua-ketua parti dari kepulauan Borneo itu akan turun ke ibu negara bagi mengadakan pertemuan secara fizikal bersama Perdana Menteri.

Susulan perkembangan itu, petugas media kelihatan mula berkampung di kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara sejak jam 8 pagi tadi bagi mencari kepastian sejauh mana pertemuan itu benar-benar berlaku, hari ini.

Tinjauan mendapati suasana di luar pekarangan kediaman Perdana Menteri masih lengang tanpa kehadiran mana-mana pihak, khususnya pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

MalaysiaGazette dimaklumkan Perdana Menteri meninggalkan kediaman kira-kira 7.45 pagi dan dipercayai menuju ke Putrajaya bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet setiap Rabu.


KENDERAAN Takiyuddin Hassan tiba bagi perjumpaan khas ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
Sumber juga memberitahu perjumpaan dengan ketua-ketua parti dari Sabah dan Sarawak itu tidak berlaku di kediaman Muhyiddin, sebaliknya akan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Kenderaan yang membawa pemimpin politik komponen Perikatan Nasional (PN) dilihat mula memasuki bangunan Perdana Putra sekitar jam 4 petang pada Rabu.

Antara yang dikenal pasti hadir adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bagi menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Difahamkan pertemuan itu bagi memeterai konsensus untuk mengekalkan sokongan terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dilapor berkata, usaha memeterai konsensus berkenaan disebabkan semua ketua parti PN berpandangan Muhyiddin masih lagi mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai perdana menteri dengan kerajaan sedia ada masih dianggap sah.

Awal pagi ini, tular mesej berhubung pertemuan Muhyiddin bersama ketua parti PN yang dijadualkan berlangsung jam 5 petang pada Rabu.

PN dianggotai oleh Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Maju Sabah (SAPP) selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala MCA dan MIC yang menyertai gabungan itu menerusi Barisan Nasional (BN) dijangka turut menghadiri perjumpaan itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post