Penduduk asal Sabah, Sarawak ‘anak sulung’, istilah bumiputera tidak sesuai, kata NGO

Penduduk asal Sabah dan Sarawak diistilahkan sebagai bumiputera, tetapi perkataan itu tidak terdapat di mana-mana Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi Perpaduan Anak Negeri Esther Golingi. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah, Perpaduan Anak Negeri (PAN) menggesa supaya istilah bumiputera yang digunakan bagi penduduk asal Sabah dan Sarawak dihapuskan.

Pengerusinya, Esther Golingi berkata, perkataan bumiputera tidak terdapat pada mana-mana Perlembagaan Malaysia, dan beliau menyifatkannya sebagai permainan politik untuk menurunkan kedudukan istimewa penduduk asal Sabah dan Sarawak.


”Kami dengan rendah hati menolak istilah bumiputera yang digunakan untuk anak negeri Sabah dan orang asal Sarawak. Sebaliknya kami bersama-sama dengan komuniti Orang Asli ingin dikenali sebagai anak sulung, anak yang lahir pertama di negara yang kita cintai dan akan berusaha untuk memelihara hak kelahiran kami yang diberikan oleh Tuhan.

”Kami sebagai anak negeri Sabah dan orang asal Sarawak menikmati kedudukan istimewa di samping orang Melayu. Kita diistilahkan sebagai bumiputera tetapi perkataan ini tidak terdapat di mana-mana Perlembagaan Persekutuan.


”Ini adalah permainan politik yang berfungsi untuk menurunkan kedudukan istimewa kami yang dijamin dalam perlembagaan, kami adalah orang asal Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Esther berkata, PAN menyambut baik dan mengalu-alukan idea keluarga Malaysia yang dicetuskan kerajaan.

Katanya, perkara itu adalah doa mereka selama ini dan berharap ianya benar-benar inklusif kepada semua rakyat di negara ini.


”Dalam politik baharu Malaysia yang baru muncul, kami menyambut baik dan mengalu-alukan idea Keluarga Malaysia.

”Ini adalah doa kami dan berharap ini akan menghasilkan tanah pusaka, tanah peninggalan nenek moyang yang benar-benar inklusif, berkongsi, makmur, maju dan damai sejahtera.


”Kami mengalu-alukan kepentingan sistem kehakiman yang bebas, pembaharuan institusi dan tadbir urus yang baik bagi memastikan persekitaran yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara ini dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya. - FMT

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.