Tindakan GPS rugikan Sabah Sarawak

Pemimpin Gabungan Parti Sarawak dalam satu acara di Kuching pada 2019.



KOTA KINABALU: Tindakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menyokong Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebagai calon Perdana Menteri Kesembilan diakui sebagai satu kerugian kepada Sabah dan Sarawak.

Ketua Whip WARISAN, Datuk Rozman Isli, berkata peluang pemimpin dari Sabah dan Sarawak untuk dicalonkan ke jawatan tertinggi kerajaan Pusat itu sangat jarang berlaku.

Katanya, peluang itu baru muncul pertama kali pada pemilihan Perdana Menteri Kesembilan dan Mohd Shafie dilihat berpotensi dilantik ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat sokongan daripada GPS.

Katanya, jika GPS menyokong pencalonan Ahli Parlimen Semporna itu, Kerajaan Persekutuan yang baharu akan lebih kukuh memandangkan jumlah sokongan adalah lebih besar hasil gabungan 105 Ahli Parlimen daripada PH dan rakannya bersama 18 Ahli Parlimen GPS menjadikan keseluruhannya 123.

"Betul, sayang peluang yang jarang ada dan peluang ini adalah yang pertama kali sejak tertubuhnya negara Malaysia. Datuk Seri Shafie sudah ada 105 sokongan Ahli Parlimen, jadi memang Sarawak GPS adalah 'king maker'.


'Macam mana GPS nak sokong, PH pun tak calonkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri)' - Datuk Seri Fadillah Yusof.
> "Dengan jumlah 123 sokongan Ahli Parlimen, kita boleh mempunyai kerajaan yang stabil sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan yang mengatakan GPS merugikan peluang untuk melantik pemimpin dari Sabah dan Sarawak menjadi Perdana Menteri apabila didakwa menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Rozman berkata, jika Mohd Shafie mendapat sokongan untuk menduduki jawatan itu, Malaysia akan memulakan satu era baharu yang bakal menyaksikan jiwa dan kesedaran seluruh rakyatnya berubah ke arah lebih sihat.

"Dengan buat pertama kalinya seorang dari Sabah atau Sarawak menjadi Perdana Menteri, Malaysia akan memulakan era baharu, yang mana 'psyche' atau 'consciousness' seluruh warganya akan berubah lebih sihat dan menjadikan Malaysia berada di tahap yang baharu.

"Ia juga adalah peluang besar untuk menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Tapi, mereka (GPS) lepaskan peluang itu. Mungkin mereka mempunyai alasan mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata, walaupun kecewa dengan tindakan diambil GPS, WARISAN tetap menghormati keputusan mereka.

Rozman turut mempertahankan kelayakan Mohd Shafie untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri Kesembilan berdasarkan merit yang dimilikinya.

"Beliau adalah seorang yang cukup pengalaman dan mempunyai keperibadian dan kualiti kepemimpinan yang menjadikan beliau 'a PM material'," katanya.

Sebelum ini, Mohd Shafie menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri mewakili blok pembangkang jika berjaya mendapat sokongan tambahan dari luar Pakatan Harapan (PH), khususnya GPS, sekali gus membolehkan mereka memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Mohd Shafie terpaksa mengalah dan menyatakan sokongan WARISAN kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila gagal mendapat sokongan GPS ketika proses mengemukakan akuan bersumpah (SD) ke Istana Negara, kelmarin.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.