Datuk LORETTO S. PADUA |
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengulangi pendirian bahawa ahli-ahli Parlimen parti itu tidak akan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S. Padua berkata, sejak daripada awal lagi pendirian Warisan cukup jelas bahawa parti ini tidak akan menyokong Perdana Menteri mahupun kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, kerajaan PN harus berundur dengan cara terhormat kerana mereka sudah kehilangan sokongan daripada ahli-ahli Parlimen.
“Kami sudah berkali-kali menyatakan pendirian bahawa kami tidak akan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan tidak akan menyokong kerajaan PN,” katanya.
Menurut beliau, ahli-ahli Parlimen Warisan juga tidak akan membelakangkan keputusan parti dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Pelancaran sayap Warisan di Semenanjung Malaysia ditangguh |
Warisan mengulangi pendirian ini sekali lagi susulan laporan yang menyatakan ahli Parlimen pembangkang cenderung berpihak kepada kerajaan PN.
Hari ini, akhbar ini melaporkan terdapat khabar angin menyatakan ada dalam kalangan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cenderung berpihak kepada PN.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Warisan memenangi lapan kerusi Parlimen termasuk satu kerusi yang masih kosong iaitu Parlimen Batu Sapi yang disandang oleh mendiang Datuk Liew Vui Keong.
Mendiang Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober 2020 dan sehingga kini, kerusi Parlimen Batu Sapi masih lagi kosong berikutan penangguhan semua Pilihan Raya Kecil (PKR) sepanjang tempoh darurat.
Post a Comment