Lelaki Rogol Adik Kandung Dipenjara, Disebat |
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 24 tahun yang merogol adiknya berusia 13 tahun, dipenjara 12 tahun dan dikenakan 10 sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh yang mengekalkan pengakuan bersalah kepada tuduhan terhadapnya pada Isnin.
Tertuduh telah merogol adik perempuannya itu antara jam 10 malam dan tengah malam pada awal Januari 2020 di sebuah rumah di Tuaran. Kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, serta sekurang-kurangnya 10 sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintah supaya lelaki itu menjalani hukuman penjara tersebut dari tarikh tangkapnya pada 5 Jun 2020.
Semasa rayuan, peguam Farazwin Haxdy yang mewakili lelaki itu, meminta hukuman penjara terendah dikenakan padanya, mengatakan ia merupakan kesalahan pertamanya.
Farazwin selanjutnya berkata lelaki yang sudah berkahwin itu, menyesali salah lakunya dan telah pun mengaku kepada tuduhan terhadapnya.
Menurut Farazwin, dia telah berada di penjara selama setahun kerana dia direman sejak ditangkap. Dia juga memohon supaya sebatan tidak dikenakan disebabkan usia muda tertuduh.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Faezah Jafry menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat atas sebab ia membabitkan kesalahan berat kerana lelaki itu telah merogol adik kandungnya sendiri.
Faezah berkata, sebagai abang, lelaki itu sepatutnya melindungi adiknya, menambah tertuduh telah merogol mangsa sejak mangsa berusia 12 tahun.
Dia selanjutnya berhujah bahawa hukuman lebih berat akan memberi pengajaran bukan saja kepada lelaki itu tetapi juga masyarakat umumnya.
Mahkamah mendengar bahawa seorang pengadu iaitu kakak mangsa membuat laporan polis terhadap lelaki itu, mendakwa tertuduh telah merogol adik mereka di sebuah rumah di Tuaran pada Januari 2020.
Siasatan lanjut mendedahkan lelaki tersebut telah merogol mangsa sejak kanak-kanak itu berusia 12 tahun, dan kali terakhir insiden itu berlaku pada Januari 2020 tetapi lelaki itu telah mengugut untuk mencederakan mangsa jika dia memberitahu orang lain mengenai kejadian rogol itu.
Kejadian itu terbongkar apabila mangsa mendedahkannya kepada kakaknya yang kemudian membuat laporan polis tersebut sehingga lelaki itu ditangkap.
SOURCE: Daily Ekspress
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment