Pemimpin pembangkang lebih sibuk berpolitik antara punca membantutkan usaha Kerajaan tangani pandemik

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahanan, Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lebih sibuk berpolitik untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada membantu Kerajaan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19, sedikit sebanyak membantutkan usaha Kerajaan menangani masalah ini, kata Datuk Seri Masidi Manjun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, itu berkata demikian dalam mengulas komen-komen yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang keadaan pandemik di Sabah.


“Kebanyakan apa yang Syed Sadiq cakap kita sudah lama buat.

“Masalahnya, vaksin dalam jumlah yang banyak hanya mula dihantar ke Sabah pada bulan Julai tahun ini. Kita ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam program imunisasi.

“Bagaimanapun, peratusan rakyat dewasa Sabah yang sudah di beri vaksin lengkap sudah melebihi 42%, dan ada daerah-daerah yang sudah melebihi 80%,” jelas Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya hari ini.


Menurutnya, ramai orang Sabah juga lebih suka mendaftar secara manual daripada melalui MySejahtera kerana masalah liputan internet yang tidak baik dan aplikasi MySejahtera mengalami pelbagai masalah.

“Kita telahpun memperkenalkan walk-in inoculation (daftar & cucuk) lebih awal daripada kebanyakan negeri di Malaysia, dan begitu juga program outreach.

“Kekangan kita dahulu ialah kekurangan vaksin. Tetapi bekalan vaksin adalah dibawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI), yakni kuasa kementerian-kementerian Persekutuan.

“Keupayaan menyuntik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ialah sehingga 62,000 dos sehari, tetapi sebelum bulan Julai, kita hanya boleh menyuntik 12,000 – 20,000 dos sehari kerana bekalan vaksin yang tidak cukup…kadang-kadang vaksin tidak sampai ikut jadual dan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpaksa ditutup,” jelasnya.

Katanya, Sarawak diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin lebih awal kerana mereka dikatakan akan mengadakan Pilihanraya Negeri (PRN) tahun ini.

“Tetapi dalam usaha memerangi Covid-19 ini, ada juga perkara yang timbul diluar dugaan kita. Peratusan rakyat yang sudah lengkap divaksin di Sarawak adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada Sabah, tetapi kelmarin (3/9) kes baharu di Sarawak mengatasi jumlah kes di Sabah….ada orang dakwa kerana varian Delta, saya tidak pasti,” katanya.

Masidi menjelaskan Sabah juga tidak ada masalah bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Banyak NGO sudahpun terlibat dalam program kita seperti Kelab 4×4. Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan kewangan kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang untuk membolehkan mereka sama-sama membantu rakyat.


“Pandemik Covid-19 datang melalui pelbagai fasa. Kita fikir pandemik sudah reda, datang pula ‘ombak’ (wave) kedua dan seterusnya ketiga. Ini kita boleh lihat di banyak negara termasuk UK, Cina, Jepun yg mengalami ‘new wave of infection’. Kenapa berlaku? Kerana virus Covid-19 ini sentiasa melalui evolusi atau mutasi (mutation). Ia boleh bertukar menjadi varian yang lebih kuat seperti varian Delta dan Lambda,” katanya.

Selain itu katanya, Sabah adalah negeri yang paling ramai warga asing /PTI.

“Mereka juga terpaksa kita ambilkira dalam program imunisasi. Penduduk warga asing akan mengurangkan peratusan yang boleh disuntik di Sabah kerana bukan mudah dapatkan mereka untuk disuntik,” katanya. - Warta Oriental

Kongsikan artikel ini:


***Jangan lupa langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.