Suspek berjaya diberkas polis di Jalan Kuala Penyu – Menumbok di Kampung Kayul, malam tadi. – Gambar Polis |
BEAUFORT: Berang kerana diberhentikan kerja, seorang lelaki mengamuk dan mengugut akan membakar rumah majikannya di Kampung Siaun Menumbok, di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 8 pagi apabila suspek warga Indonesia pergi ke rumah majikannya dengan membawa parang dan berteriak mencari isteri serta anak majikannya.
Bagaimanapun, anak lelaki majikannya berusia 18 tahun yang berada di rumah terbabit kemudian menghubungi bapanya sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek adalah bekas pekerja ladang sawit milik bapa pengadu.
Katanya, suspek diberhentikan kerja oleh majikannya kerana malas bekerja dan disyaki mengambil dadah jenis syabu.
“Suspek yang tidak puas hati diberhentikan kemudian datang ke rumah majikannya dengan membawa parang dan mengamuk sebelum beredar.
“Beberapa minit kemudian majikannya tiba di rumah dan dia turut menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek dengan menyatakan akan membakar rumahnya,” katanya ketika dihubungi.
Yusoff berkata, siasatan lanjut kemudian berjaya mengesan dan menahan suspek di tepi jalan di Jalan Kuala Penyu-Menumbok di Kampung Kayul, pada 7.40 malam.
“Siasatan masih dijalankan dan suspek belum membuat sebarang pengakuan berkenaan kejadian itu dan soal siasat akan diteruskan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – FMT
Post a Comment