Langkah perlu jika gempa bumi berlaku - Bomba
RANAU: Penduduk di sini digesa agar sentiasa berjaga-jaga terhadap kejadian gempa bumi dengan membuat persiapan berdasarkan langkah-langkah yang disarankan oleh pasukan keselamatan.Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib juga menggesa orang ramai segera melaporkan kepada Balai Bomba Ranau (088-878779) sekiranya berlaku kerosakan harta benda dan nyawa akibat kejadian tersebut.
“Sekiranya gempa bumi berlaku ketika anda di dalam bangunan, antara langkah yang perlu diambil adalah mencari tempat perlindungan yang kukuh, contohnya, di bawah meja atau kerusi atau letakkan diri anda di sudut yang kurang mungkin runtuh.
“Dan jika anda berada di luar bangunan, pastikan anda mencari kawasan terbuka, sentiasa waspada dan jauhkan diri dari tiang elektrik, pokok, dinding atau tiang lampu,” katanya.
Ridwan berkata demikian berikutan gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 pada skala Richter yang berlaku di Kundasang pada pukul 6.20 pagi Sabtu, tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Gempa bumi itu berlaku di di koordinat 6.1 ° Utara dan 116.6 ° Timur, pada jarak 12km di barat laut Ranau dan pada kedalaman 10km.
Menurut laporan dari Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau dan jabatan itu akan terus memantau keadaan.
Pada 5 Jun 2015, gempa bermagnitud 5.9 menggegarkan Sabah, mengorbankan 18 orang di Gunung Kinabalu. Ia dikatakan gempa bumi kedua terkuat menimpa Sabah selepas gempa bumi 1976 berukuran 6.2 pada skala Richter yang berlaku berhampiran Lahad Datu.
Antara 18 yang terkorban itu termasuk malim gunung dan pelajar dari Singapura yang melakukan lawatan lapangan.
Seramai 137 pendaki terkandas di atas gunung setelah gempa bumi itu, direkodkan sekitar pukul 7.15 pagi.
Malim gunung terpaksa perlahan-lahan membimbing pendaki turun kerana penyelamat, termasuk perkhidmatan helikopter, tidak dapat dihantar kerana angin dan keadaan cuaca.
Penyelamat hanya dapat mendaki beberapa jam kemudian apabila malim gunung lain tiba kerana mereka sahaja yang tahu selok-belok gunung itu. Mereka tidak dapat menunggu helikopter tiba untuk pergi ke pendaki yang terkandas kerana suhu semakin menurun.
Dengan kekurangan makanan dan minuman, selain gempa susulan, penyelamat harus mendaki gunung dengan cepat.
Akhirnya, malim gunung, pengangkat barang dan anggota bomba membawa pendaki turun dengan berjalan kaki.
Gempa bumi 2015 dirasai di seluruh Sabah dan lebih 100 gempa susulan dilaporkan direkodkan sepanjang tahun. – Daily Ekspress via Warta Oriental
Berhadapan gempa? Langkah ini mungkin penyelamat anda
Berikutan gempa bumi sederhana bermagnitud 6.0 pada skala richter yang menggegarkan Sabah pada jam 7.15 pagi tadi telah mengakibatkan banyak kejadian runtuhan tanah berlaku selain turut menjejaskan beberapa kawasan bandar dan perumahan.Sehingga jam dua petang Jumaat, Kementerian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin mengatakan sebanyak 15 gempa bumi susulan berskala lemah dapat dirasai penduduk di kawasan Ranau.
Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersil Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sherizan Darus berkata terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi.
"Gempa bumi yang kuat boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan. Langkah-langkah yang diambil hanya boleh mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi.
"Penting bagi kita untuk saling bantu membantu antara satu sama lain apabila gegaran berlaku," jelas beliau ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan bahaya terhadap gempa bumi seperti yang disediakan oleh MetMalaysia:
A) SEMASA GEMPA BUMI
Jika anda di dalam bangunan :- Terus kekal berada di dalam bangunan. Berlindung di bawah meja yang kukuh atau tempatkan diri di ambang pintu atau satu sudut.
- Jauhkan diri dari tingkap, rak buku, kabinet, cermin, pasu bunga yang bergantungan dan objek berat yang boleh menggelongsor atau terjatuh.
- Lindungi kepala dan muka dari serpihan runtuhan dan kaca
- Jangan menggunakan lilin, mancis atau sebarang bahan punca api yang lain kerana berkemungkinan kebocoran gas akan berlaku. Padamkan semua sumber api.
Jika anda berada di dalam bangunan tinggi :
- Jangan keluar secara tergesa-gesa.
- Jangan gunakan lif kerana kemungkinan bekalan elektrik akan terputus.
- Terus kekal berada di dalam bangunan di tingkat yang sama.
Jika anda di luar bangunan :
- Bergerak ke kawasan terbuka. Jauhi diri dari talian kuasa, tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu.
- Jauhkan diri dari serpihan yang jatuh di luar pintu dan dinding sebelah luar.
- Jauhkan diri dari talian elektrik yang jatuh.
- Terus kekal berada di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.
Jika anda berada di laluan pejalan kaki berhampiran bangunan :
-Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri dari serpihan batu-bata, simen dan kaca yang jatuh.
Jika anda berada di dalam pasaraya yang sesak :
- Jangan bergerak keluar ke muka pintu secara tergesa-gesa.
- Jauhkan diri daripada rak-rak yang mengandungi objek-objek yang berkemungkinan akan terjatuh.
Jika anda di dalam kereta yang bergerak :
- Berhentikan kereta dengan segera di kawasan yang dirasakan selamat. Jangan berhenti di atas atau bawah jambatan atau lingkaran atau rentangan kabel elektrik.
- Terus kekal berada di dalam kereta hingga gegaran berhenti.
B) SELEPAS GEMPA BUMI
- Dengar radio atau televisyen untuk mendapatkan maklumat kecemasan terkini. Jika bekalan elektrik terputus, gunakan radio berkuasa bateri.- Bertenang dan nilaikan situasi semasa. Bersedia sekiranya berlaku “gegaran susulan”.
- Periksa kecederaan. Beri bantuan kecemasan apabila diperlukan. Jangan alihkan mangsa yang cedera parah kecuali mangsa terdedah kepada risiko kecederaan yang lebih teruk jika terus berada di tempat tersebut.
- Periksa jika ada berlaku kebakaran. Padamkan api dengan segera jika anda mampu.
- Jika terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau api. Gunakan lampu suluh.
- Jangan sentuh wayar elektrik atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.
- Periksa almari dan rak stor. Buka pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang mungkin akan terjatuh.
- Periksa sistem saluran kumbahan dengan sempurna sebelum mengepam tandas.
- Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan bahan-bahan yang berbahaya.
- Jangan makan atau minum sebarangan dengan menggunakan bekas-bekas yang telah remuk.
- Jangan gunakan telefon kecuali untuk membuat panggilan kecemasan (perubatan, kebakaran dan jenayah).
- Keluar dari bangunan yang rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya.
- Bekerjasama dengan pihak keselamatan awam. Jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali untuk memberi bantuan. Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kecemasan.
- Tenangkan kanak-kanak yang mungkin mengalami trauma psikologi akibat gempa bumi.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق