MH370

Terkini
.

Analisis SWOT Dr Rem Dambul ke atas Laporan RCI Sabah

Analisis SWOT Dr Rem Dambul ke atas Laporan RCI Sabah

Laporan RCI sudah masuk ke domain publik lebih kurang seminggu lebih. Banyak reaksi telah muncul dari pelbagai pihak dan individu; sama ada di laman internet atau siaran akhbar.


Saya baru selesai membaca tiga hari dulu, tetapi belum sempat menghadam secara tuntas saripatinya menerusi rujukan silang. Pun begitu, saya mau berkongsi pandangan awal saya tentang RCI ini menerusi perspektif analisis SWOT (strength, weakness, opportunity and threat). Saya tidak hadkan pendapat ini hanya kepada inti laporan RCI; tetapi merangkumi aspek lain yang bersabit dengan suruhanjaya diraja ini.


KEKUATAN (strength) terletak pada penemuan laporan yang kaya bukti di lapangan. Yang telah dicerap secara langsung dari individu-individu dengan pelbagai latarbelakang. Untuk pertama kali dalam sejarah Sabah, kita disaji dengan testimonial yang sebegitu rinci dan mendalam, bagi satu isu yang sangat sensitif. It almost bares everything, and leaves nothing for anyone to hide.

2
KELEMAHAN/KEKURANGAN (weakness) pula kerana tidak ada rekomendasi pelan tindakan yang konkrit, hasil dari penemuan bukti tersebut. Tetapi ini difahami kerana fungsi suruhanjaya ini cuma 'menyiasat' dan membuat diagnosis tentang sumber dan impak masalah. Badan penyiasat ini tidak memegang mandat untuk menghukum. RCI lebih beri penekanan pada bukti-bukti penyiasatan dan tidaklah terlalu berfokus kepada penilaian moral, etika atau perundangan. Itu adalah tugas kita semua, selepas membaca laporan itu dengan teliti.

PELUANG (opportunity) terbesar pula ialah dari segi terbukanya pintu kerjasama kolektif. Selepas sahaja pengumuman rasmi, Ketua Menteri Sabah sendiri telah menunjukkan iltizam yang tegas untuk menangani isu-isu yang berbangkit. Kerana pendedahan yang telah digali oleh RCI merupakan kudis dan onar yang nyata. Tidak ada sudut lagi bagi pihak berautoriti untuk berselindung di sebalik kata-kata retorik. Ini peluang terbaik kelompok anti-establishment untuk berganding erat dengan pemerintah.

Tetapi ANCAMAN (threat) yang akan menggagalkan usaha-usaha pasca RCI juga tidak kurang banyak. Yang terbesar adalah permainan api sentimen. Terutama dari kalangan pihak-pihak yang malas membaca dan hanya mendengar petikan-petikan terpilih laporan tersebut. Kemudian terus naik terbakar macam singa bunting yang sudah lama lapar. Laporan setebal lebih 300 mukasurat itu mempunyai konteks yang pelbagai. Setiap satu perlu dicantum dengan teliti, untuk benar-benar dapat melihat "the big complete picture".

Masalah timbul bila manusia memilih untuk selektif dalam mendendang bukti. Sebab itu cuma akan menjana tindakan yang dipacu emosi dan bukan pertimbangan rasional. Blaming game is not going to bring us anywhere. Sebaliknya ia hanya akan menghumbankan kita jauh ke belakang, setiap kali ada cubaan mau melangkah.



3
Dalam konteks ancaman pendatang asing, Sabah sudah bertahun-tahun terpenjara oleh dogma egoistik yang menutup pilihan-pilihan yang lebih inklusif dan menyeluruh. Kompromi sangat gersang di negeri ini, kerana terlalu ramai yang mau mendendang diri sebagai hero. Kononnya, hanya dia penyelamat yang boleh memberi ubat paling mujarab.

Puak separatist akan menempik: kita tidak boleh kekal dalam Malaysia. Kita mesti keluar membina negara merdeka sendiri. Hanya cara ini saja yang dapat selesaikan isu lambakan pendatang haram.

Puak anti-establishment akan menengking: kita tidak boleh harap kerajaan yang ada sekarang. Kita mesti pilih dulu pembangkang sebagai pemerintah. Barulah kita dapat lunaskan cita-cita ke arah negeri yang lebih selamat dari pencerobohan luar.

Soalan saya: kenapa mesti letakkan syarat padahal itu hanya menjadikan usaha memerangi PTI bertambah kompleks dan sukar? Sebab sebelum strategi dapat dioperasikan, syarat yang diletak itu mesti dipenuhi dulu. Bukankah itu jalan yang lebih panjang dan akan ambil masa bertahun-tahun? Sedangkan kita perlu mengubati segera gejala yang sedang berkudis.

4
Kita tidak perlu sempitkan alternatif penyembuhan negeri yang sedang tenat ini dengan CUMA pilihan-pilihan yang memecahbelahkan. Serius, haruskah kita menjadi anarkis yang berpuak-puak?

Pandangan saya begini. Bagi agenda sepenting dan segenting ini, cara paling efektif adalah kompromi. Kita robohkan jurang sentimen dan idealogi partisan. Lupakan seketika aliran perjuangan masing-masing, yang berbeza idealisme. Kita mesti bersatu mencari jalan penyelesaian yang bersepadu. 




Bagi merintis matlamat ini, satu kuasa pengikat harus diangkat untuk menyelaraskan kesepaduan yang dihajati. Apakah entiti terbaik untuk mainkan peranan itu? Tentulah pihak kerajaan yang sedang memerintah. Kerana itulah entiti yang mempunyai akses kepada sumber dana dan memiliki autoriti perlaksanaan dasar. Juga, secara prinsipnya, entiti ini telah diberi mandat oleh rakyat majoriti untuk mengolah halatuju negeri.

5
Atas rasional itu, kita memikul obligasi moral untuk memberi kepercayaan kepada kerajaan yang telah dipilih ini untuk memimpin langkah kolektif ke hadapan. Sebagai timbal balas, kerajaan pula tidak boleh meminggirkan keterlibatan pihak-pihak lain dalam usaha kolektif tersebut. Kerajaan bertindak sebagai teraju, manakala yang selainnya itu boleh membantu dari segi perkongsian strategi dan pelan tindakan. Semua pihak mesti tunjuk sokongan dan semangat kebersamaan.

Ini bukan soal siapa kita benci atau siapa kita suka: sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat atau parti-parti oposisi bercitra tempatan. Kita masih boleh terus memilih untuk mencintai mana-mana parti yang gagasan politiknya sesuai dengan citarasa sendiri. Itu adalah hak demokrasi individu.

Tetapi kita mesti faham dan mengerti. Entiti kerajaan Malaysia/Sabah tidak sama dengan parti Barisan Nasional. Apabila sesuatu parti telah diangkat sebagai kerajaan secara demokrasi oleh rakyat, maka kapasitinya telah berganda. Daripada hanya sebuah parti politik kepada pemerintah negara. Yang sewajarnya diterima sebagai payung kepentingan seluruh rakyat jelata.

6
Nanti ada pula yang menempik: "Tapi kerajaan yang ada sudah bertahun-tahun berkuasa. Masalah tidak pernah selesai!"

Ini bukan masa yang sesuai untuk bernostalgia atau mengimbau kenangan. Juga bukan waktu yang tepat untuk berprasangka dan berspekulasi. Kita mahu selesaikan isu, bukan mau bersengketa sampai kiamat. Walaupun kerajaan masih sama, ada perbezaan yang sangat signifikan di antara "tahun-tahun yang dulu" dan "tahun 2014". Apa? Yang dulu-dulu itu tidak ada RCI, sekalipun sudah didesak bertalu-talu. Tapi sekarang kita sudah ada RCI.

Maksudnya apa? Kerajaan telah berani buat satu anjakan baru yang lebih telus. Satu keterbukaan, yang tidak pernah wujud sebelum ini, untuk mencari penyelesaian yang lebih mendasar. Sama ada ini boleh jadi ubat yang mujarab atau tidak: jangan terlalu gopoh mau menghakimi. Kalau langkah pertama saja sudah dicantas, bagaimana mahu dinilai keberkesanannya?

Lagi pun, kalau kita enggan sandarkan harapan pada kerajaan sekarang, kita mahu bersandar pada siapa? Mahu mengharap keradihutan? Atau kerabangkang yang mendapat cuma 38% kumulatif undi popular (dan di bawah 15% undi kolej elektoral) di seluruh Borneo dalam pilihanraya yang lalu?

7
Ya, saya tau. Masih ada lagi persoalan lain: "Apa jaminan kaedah kali ini akan menyelesaikan masalah?"

Soalan saya semula: kenapa mahu menuntut jaminan kepada sesuatu yang masih dalam proses operasi? Kalau bukan pilihan ini, apa jaminan bahawa pilihan-pilihan lain mampu menghasilkan penyelesaian? Hakikatnya, apa juga pendekatan yang dicadang, tiada siapa boleh beri jamin bahawa cara itu boleh menyelesaikan isu secara tuntas.

Saling mempersoalkan memang bagus. Ini akan memperkukuh dasar dan polisi. Tetapi ada situasi tertentu di mana debat yang berpanjangan hanya akan menikam mati komuniti. Kalau perahu sudah lama dimasuki air dan semakin tenggelam, perlu apa lagi mau berbalah? Ikut saja arahan nakhoda untuk menimba air keluar. Jangan persoalkan sama ada mau pakai gayung atau baldi.

Perjuangan dan survival bangsa bukan disukat kepada jaminan mutlak semata-mata. Ia adalah tentang ikhtiar kolektif yang konsisten. Menggembling strategi secara bersepadu pasca RCI; ini peluang terbaik Sabah membuat perubahan dan anjakan ke hadapan. Kuncinya di tangan kita semua; tinggal saja kita mahu atau tidak. Kalau peluang pun tidak mau ambil; apa guna keliak-keliung mahu berdebat tentang jaminan?

8
Percayalah. Masalah PTI di Sabah adalah ibarat kanser dalam tubuh. Ia tidak boleh disembuhkan jika anggota badan GAGAL BERSEPAKAT seluruhnya untuk menerima satu bentuk rawatan yang sama. Bayangkan kalau kaki dan peha setuju dengan kemoterapi; tetapi perut dan paru-paru membantah. Atau perut setuju dengan kaedah pembedahan; tetapi mata, hempedu dan gegendang tidak mahu.

Habis, mau lapah keluar perut dan paru-paru dulu sebelum badan itu distimulasi dalam mesin kemoterapi? Atau gegendang, hempedu dan mata dikorek buang sebelum tubuh dioperasi di meja bedah?

Memang betul. Semua pihak (kerajaan, pembangkang, sarjana, NGO dan rakyat) ada pandangan sendiri, dan setiap satunya mempunyai merit. Tetapi kalau masing-masing taksub mahu ideanya diangkat jadi teraju, sampai negeri ini jatuh terjajah seluruhnya ke tangan pendatang pun, kita masih tidak dapat menemukan jalan yang terbaik.

9
Pilihan strategi dan langkah kita sekarang hanya satu, iaitu berkompromi untuk menentukan "satu jalan ke hadapan". A way forward that everyone is committing himself/herself, to make it work. A strategy that will not serve any other interests; other than for the brighter future of Sabah. Ya, demi keselamatan rakyat dan kedaulatan negeri.

Work together. THIS IS THE ONLY WAY.

Cara selain dari ini, hanya ibarat bersenggama dengan kerbau di dalam kubang lumpur. Bukan saja tidak menyelesaikan isu yang ada; bahkan menambah lagi satu masalah baru. Iaitu kegampangan seks luar tabii yang melampau.



Saya kata "ibarat". Itu cuma analogi, sejenis personafikasi bahasa. 



Dr. Rem atau nama sebenarnya, Dr. Ramzah Dambul merupakan anak kelahiran daerah Ranau, dan bertugas sebagai pensyarah dan penyelidik di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Dr. Ramzah mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Klimatologi Sinoptik dari Universiti East Anglia, Norwich pada tahun 2007.  Beliau kini bertugas di Universiti King Abdul Aziz, Jeddah untuk satu kajian mengenai ukuran jangka panjang perubahan iklim serta kesannya kepada sosio ekonomi dunia.

Analisis SWOT Dr Rem Dambul ke atas Laporan RCI Sabah Reviewed by admin Ucop on 9:32 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Sabahup2date © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.