Pelancong Korea Selatan mati lemas di Bunga Raya Resort,Pulau Gaya


Pelancong Korea Selatan mati lemas di Pulau Gaya

Seorang pelancong wanita warga Korea Selatan mati lemas selepas dihanyutkan arus ke tengah laut ketika mandi bersama-sama suaminya di pantai kawasan peranginan Bunga Raya Resort, Pulau Gaya dekat sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Azhar Hamin berkata wanita itu dan suaminya mandi di kawasan berkenaan sejak 2 petang sebelum dia dihanyutkan ke tengah laut kira-kira 30 meter.
  
"Suaminya cuba menarik wanita itu tetapi gagal lalu meminta bantuan daripada pekerja resort berkenaan untuk membawa mangsa ke tepi pantai. Namun mangsa sudah tidak bernafas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Beliau berkata wanita itu yang berumur 30 tahun dan suaminya, 29, juga warga Korea Selatan, menginap di resort tersebut sejak semalam.
  
Sementara itu di Kota Belud, pasukan bomba menemukan mayat seorang lelaki dipercayai mati lemas semasa mandi di Sungai Sisipon kira-kira 12.20 tengah hari tadi.
  
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Affendy K Ramin berkata lelaki itu dikenali sebagai Edward Sungkin, 33, dilaporkan hilang kira-kira 12.10 tengah hari, semalam. - Bernama

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.