SMK KUNDASANG USANG: MASIH TERBENGKALAI. Cari langkah penyelesaian segera Untuk pulihkan SMK Kundasang yang semakin usang dan berbahaya Foto: Alyazid Haimin
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah penyelesaian sementara bagi memulihkan keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang yang rosak dan usang.
Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru SMK Kundasang Japiril Suhaimin berkata, langkah itu penting memandangkan masih terdapat beberapa blok bangunan yang masih boleh digunakan.“Perkara ini sudah disuarakan sebelum ini tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil pihak kementerian atau Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sehingga kini.
“Kami memohon supaya masalah SMK Kundasang yang sudah berlanjutan lebih dua tahun dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, adalah menjadi harapan para ibu bapa agar masalah yang membelenggu sekolah itu dapat diselesaikan dengan segera.
Japiril berkata, sekiranya langkah penyelesaian sementara tidak dapat dilakukan, pihak PIBG memohon agar tapak yang sedia ada di SMK Kundasang pada ketika ini dapat digunakan dan semua tembok yang ada di sekeliling sekolah itu juga perlu dibina segera.
Katanya, adalah menjadi harapan besar warga Kundasang agar sekolah itu dapat disiapkan secepat mungkin bagi memudahkan para pelajar dalam sesi pembelajaran.
“SMK Kundasang mula beroperasi pada tahun 1986, namun hasil pemeriksaan unit Selenggara Fasiliti Pendidikan dan Pengajian Tinggi pada tahun lalu sekolah itu tidak selamat digunakan.
“Ia berikutan pergerakan tanah masih aktif dan runtuhan boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Kementerian Pendidikan sebelum ini menjanjikan bangunan SMK Kundasang baharu akan dibina di Kampung Mesilou pada bulan Julai 2014 dan dijangka siap dalam masa setahun.
“Peruntukan sebanyak RM43 juta juga telah diluluslan oleh pihak kementerian namun belum ada sebarang tanda untuk membina sekolah baharu itu,” katanya.
Pada bulan Disember tahun lalu, KPM memberi arahan untuk mengosongkan sekolah berkenaan.
Keadaan itu memaksa kira-kira seribu pelajar berpindah segera ke bekas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Ranau agar tidak menjejaskan sesi pembelajaran.
Antara masalah yang timbul akibat perpindahan itu ialah masalah kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa selain pencapaian akademik pelajar yang semakin merosot.
Walaupun kos perkhidmatan bas yang digunakan sekarang ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan yang menjanjikan akan disediakan sehingga SMK Kundasang baharu siap, ia dijangka akan dihentikan mulai tahun hadapan.
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment