RANAU – `Saya tidak mahu tinggalkan Gunung Kinabalu,’ jelas Rizuan Kauhinin, 24, saat diajukan pertanyaan sama ada beliau masih mahu meneruskan pekerjaan sebagai malim gunung setelah berdepan pengalaman gempa bumi di Ranau .
Gempa bumi bermagnitud 6.0 skala Richter itu yang telah meragut nyawa 18 pendaki dari Singapura dan Jepun termasuk empat malim gunung, merupakan bencana gempa bumi terbesar pernah berlaku di Malaysia.
Meskipun setelah tragedi itu, Rizuan nekad untuk kembali menjadi malim gunung sebaik sahaja pihak Taman-Taman Kinabalu (TTS) membuka semula Gunung Kinabalu kepada para pendaki.
“Saya bekerja sebagai malim gunung selama tujuh tahun iaitu sejak berumur 18 tahun lagi.
Biarpun selepas kejadian gempa bumi ini, tidak mungkin saya tinggalkan Gunung Kinabalu, ia cukup dekat dihati saya,” katanya ketika ditemui di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bantuan kerajaan Pusat sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri bagi menambahbaik Taman Kinabalu, terutama kerosakan di sepanjang laluan ke puncak Gunung Kinabalu.
Gambar Rizuan mengangkat seorang kanak-kanak dari Singapura semasa operasi menyelamat di laluan pondok Bilusa iaitu satu kilometer dari pondok Layang Layang menuruni puncak Gunung Kinabalu, menjadi perhatian dunia.
Menurutnya, walaupun panik dengan keadaan pada masa itu, apa yang bermain difikirannya adalah soal keselamatan para pendaki.
“Saya bertemu dengan kanak-kanak ini di pondok Bilusa dengan keadaannya agak memilukan. Dia patah tulang tangan kanan manakala malim gunung mereka juga cedera masa itu.
“Tanpa berfikir panjang saya mengendongnya meskipun saya juga cedera pada masa itu akibat terkena serpihan batu yang jatuh.
Masa turun, saya berhati-hati kerana masih ada gegaran dan batu banyak lagi berjatuhan,” jelasnya.
Rizuan berkata, beliau gembira kerana berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut, malah bapa kanak-kanak itu ada menghubunginya baru-baru ini mengucapkan terima kasih kepadanya .
Post a Comment