PETAGAS 21 JULAI - Dua warga Pakistan ditahan polis hari ini kerana disyaki memukul seorang lelaki tempatan yang menegur mereka menggunakan telefon bimbit di sebuah stesen minyak di Putatan.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata kedua-dua suspek lelaki berumur 23 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah kedai runcit di Kampung Petagas di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Beaufort sedang menunggu giliran mengisi minyak apabila terlihat seorang daripada suspek sedang bercakap menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak di stesen itu.

Bimbang akan keselamatan orang awam, mangsa telah menegur suspek, bagaimanapun teguran itu mengundang padah apabila kedua-dua suspek memarahi mangsa sebelum bertindak menumbuk mangsa, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata insiden pergaduhan itu berjaya dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Katanya suspek akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Bernama

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date