Keropok Amplang oleh-oleh Terkenal dari Sabah jana pendapatan lumayan Komuniti Tawau

AMPLANG yang sudah siap untuk dibungkus.

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Haruman butir keropok amplang yang baru diangkat dari kuali dan diletakkan dalam dulang panjang untuk dikeringkan minyak, membangkitkan rasa teringin.

Bagai mengetahui apa yang bermain di kepala, pekerja yang sibuk meleraikan amplang itu mempelawa kami yang hadir menyaksikan proses membuat makanan yang menjadi ikon Negeri Di Bawah Bayu itu, untuk mencuba.

Menikmatinya panas-panas adalah pengalaman yang cukup mengujakan menyebabkan tangan seolah tidak mahu lepas daripada dulang besar berkenaan dan selepas tiga kali 'mencekup' amplang sebesar ibu jari yang berwarna kuning cair itu, kawasan berkenaan ditinggalkan untuk bertemu dengan pengusaha makanan ringan itu di ruang memproses bahan mentah yang terletak di bilik sebelah.


Dua bahan utama resipi Susunan isi ikan tenggiri beku di dalam bungkusan plastik, kampit mengandungi tepung ubi serta beberapa mesin pengadun memenuhi ruang dan ketika disapa, Rozekin Suratman, 35, berkata dua bahan berkenaan adalah ramuan utama menghasilkan amplang yang ditambah dengan gula, garam dan perasa.

Mewarisi perniagaan dimulakan ibunya, Rosmie Naradini yang terletak di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Rozekin berkata, sudah 25 tahun dia 'hidup' dengan amplang.

Baginya, tiada perkataan kesal kerana menyambung usaha keluarga walaupun pada awalnya bercadang melanjutkan pelajaran selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti di Kota Kinabalu dan kini ia menjadi sumber rezeki dia sekeluarga dengan jualan kira-kira RM90,000 sebulan juga rezeki beberapa jiran yang menumpang manfaat dengan bekerja di situ.

"Ibu meminta saya meneruskan perniagaan dan kini saya dan seorang abang meneruskannya dengan ibu bertindak sebagai penasihat," kata anak bongsu daripada lima beradik itu yang menambah pada asal ibunya mengusahakan perniagaan itu bersama adik-beradiknya, tetapi tiada siapa berminat untuk mengambil alih menyebabkan ibu meminta dia melakukannya.

Jadi pilihan pelancong

Rozekin ditemui pada program Kembara Media 1Malaysia Sabah anjuran Jabatan Penerangan, baru-baru ini, yang meninjau aktiviti ekonomi dijalankan masyarakat setempat.

Menceritakan pembabitan awal ibunya dengan perniagaan itu, katanya, ia adalah hasil tunjuk ajar seorang rakan yang menghasilkan jajan berkenaan sebagai hidangan keluarga serta tetamu dan kemudian menjadikan ia sebuah perniagaan selepas mendapati makanan berkenaan berpotensi untuk dikembangkan.

Usaha itu akhirnya memberikan hasil lumayan apabila amplang keluaran Rosmie yang kini didaftarkan di bawah jenama Keropok Pelang-Pelang (Ikan) Rosmie Bersaudara dan dibungkus dalam pek seberat 250 gram, 500 gram dan 1 kilogram, dipasarkan ke seluruh Sabah dan menjadi antara jajan yang mesti dibawa pulang pelancong yang datang ke negeri itu.

Dengan 20 pekerja, Rozekin yang juga usahawan bimbingan Jabatan Perikanan Sabah di bawah Program Pembangunan Industri Hiliran hanya melakukan kerja mengadun ramuan kerana ia adalah resipi rahsia keluarga, sepanjang rantaian proses penghasilan makanan berkenaan, di samping memerhati proses pembungkusan juga terbabit dalam kerja pemasaran.

Ramuan utama bernisbah enam kilogram isi ikan dan enam kilogram tepung ubi bagi satu adunan yang sudah diadun Rozekin kemudian dibawa ke ruang memproses untuk diuli menjadi kepingan kira-kira satu sentimeter yang kemudian dipotong kecil dan dimasukkan dalam dulang berisi tepung agar tidak melekat sebelum digoreng.


Selesai proses menggoreng ia dibungkus mengikut berat ditetapkan sebelum disimpan untuk dipasarkan Rozekin ketika ini menghasilkan 400 kilogram amplang sehari dan jumlah itu meningkat kepada 600 kilogram pada musim perayaan dan hasil inovasi dijalankan amplang yang dipasarkan mempunyai perasa udang, sotong dan ketam.

Amplang berkualiti

Walaupun bahan digunakan nampak mudah dan tidak renyah, ada ketikanya Rozekin terpaksa berhati-hati kerana antara ikan tenggiri batang dengan ikan tenggiri putih memberikan hasil berbeza kerana isi ikan tenggiri batang menyebabkan amplang berwarna kemerahan dan kelihatan seperti hangus.

"Ada sekali saya cuba menggunakan tepung ubi kayu kuning, amplang yang jadi pun berwarna kemerahan," katanya dan menambah perkara sebegini menyebabkan dia perlu lebih berhati-hati dengan stok bekalan yang tiba supaya terjamin mutu amplang dijamin. Diminta bercerita mengenai perancangannya, Rozekin yang kini menghasilkan makanan berkenaan di ruang bawah kediaman beliau sekeluarga yang terletak di sebuah kawasan perumahan di pekan Tawau, berkata beliau sudah mendapat tempat untuk memindahkan kemudahan yang ada di satu kawasan tidak jauh dari kediamannya yang mampu menghasilkan 1,000 kilogram amplang sehari.


"Selain itu, walaupun amplang yang dihasilkan halal, kami juga dalam proses mendapatkan sijil halal bagi memberi lebih keyakinan kepada peminat makanan ini kerana ia bukan sekadar membabitkan soal hukum, tetapi proses penghasilan terutama soal kebersihan yang ditetapkan dan memenuhi piawaian penghasilan bahan makanan. "Inilah cara kami menghargai pelanggan yang menyokong usaha kami selain sebagai jaminan kepada mereka bahawa produk keluaran kami adalah yang terbaik," katanya.

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.