KOTA KINABALU – Populasi badak Sumatra liar di Sabah agak menyedihkan ekoran bilangannya yang semakin berkurangan termasuk di hutan simpan liar Tabin dan Lembah Danum, di Lahad Datu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Willian Baya berkata, walau bagaimanapun para saintis mengakui Sabah masih mempunyai harapan untuk mengelak kepupusan haiwan tersebut yang hanya terdapat di negeri ini. “Populasi badak Sumatra di Sabah adalah menyedihkan.Dengan penangkapan badak betina iaitu Puntung, di Tabin pada 2012, tiada sebarang tanda-tanda dikesan di hutan walaupun dengan kekerapan usaha menjejaki badak dilakukan secara intensif termasuk pemasangan beratus perangkap kamera.
“Hal yang sama berlaku di Lembah Danum, selepas penangkapan badak betina, Iman, pada 2014 tiada kesan lain berjaya dijejaki.
Hal ini amat menyedihkan kerana kedua-dua hutan simpan ini merupakan habitat penting untuk badak di Sabah, namun kini sudah tiada. “Rakan konservasi JHLS – WWF dan BORA masih menghantar pasukan kecil untuk usaha menjejaki badak di hutan namun masih tiada sebarang kejayaan.
Harapan terakhir kita bergantung kepada tiga badak Sumatra yang kini dipelihara di dalam kurungan di Sanktuari Badak Borneo di Tabin,” katanya di sini hari ini.
Puntung ketika di tempatkan di taman hidupan liar Tabin. - foto ihsan JHLS
Namun, William berkata, ketiga-tiga badak di dalam kurungan di Tabin bukanlah dalam keadaan pembiakbakaan terbaik dengan Tam, badak jantan yang ditangkap pada 2008 mempunyai kiraan sperma yang rendah manakala Puntung ditangkap pada 2012 mempunyai sista ovari dan rahim dan badak betina terakhir yang ditangkap pada 2014 di Lembah Danum mempunyai tumor bersaiz sebiji bola di dalam rahimnya yang menyebabkan agak mustahil untuknya mengandung.
“Justeru, kita akan menggunakan teknik pembiakan maju seperti permanian interselular untuk menghasilkan embrio.
Untuk itu, kita berkerjasama dengan kumpulan pakar dari Institut Zoo dan Hidupan Liar Berlin, Jerman serta kumpulan pakar dari Malaysia termasuklah UPM dan MARDI yang berpangkalan di Institut Bioteknologi Agro di Selangor,” ujarnya.
William menambah, satu-satunya tempat lain untuk mencari ibu tumpang yang sihat adalah di negara jiran iaitu Indonesia.
Puntung dan Tam ditemukan buat kali pertama. – foto ihsan JHLS
Menurutnya, usaha untuk menyelamatkan badak ini daripada kepupusan boleh dilakukan dengan kerjasama Malaysia dan Indonesia.
Katanya, JHLS dan juga kerajaan Persekutuan lebih daripada bersedia untuk bekerjasama demi menyelamatkan spesies ini daripada pupus.
Dalam mesyuarat HOB baru-baru ini yang diadakan di Sandakan, pihak Indonesia mula menyatakan minat untuk bekerjasama setelah isu ini diketengahkan oleh Malaysia.
Post a Comment