HASRULLAH Azrulkhan membuktikan kecacatan anggota tidak menghalangnya untuk mendaki Gunung Kinabalu.
RANAU: Meskipun terpaksa merangkak, pelajar kelainan upaya (OKU) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Hasrullah Azrulkhan, membuktikan kecacatan anggota tidak menghalangnya untuk mendaki Gunung Kinabalu.Hazrullah, 24 atau dikenali dengan panggilan Adam, yang lumpuh kaki hanya bergantung pada kekuatan tangan untuk mendaki bermula dari Pondok Timpohon, di kaki gunung hingga ke Sayat-Sayat pada ketinggian 3,700 meter.
Walaupun gagal menawan puncak tertinggi Asia Tenggara itu, beliau tetap gembira dan menganggapnya satu kejayaan kerana ia adalah pendakian tertinggi dicapainya sejak berkecimpung dalam aktiviti pendakian.
Beliau berkata, hanya faktor masa yang menyukarkan usahanya untuk tiba di puncak Gunung Kinabalu berikutan sukar bergerak untuk menepati masa ditetapkan, selain suhu dingin yang mencengkam tubuh.
"Saya mula mendaki dari Pondok Timpohon pada jam 6 pagi, semalam dan tiba di tempat penginapan di Laban Rata pada kira-kira jam 8 malam. Pagi tadi, saya mula mendaki ke puncak pada jam 1 pagi tetapi selepas enam jam bergerak, saya hanya mampu sampai di Sayat-Sayat.
"Ketika itu sudah jam 7 pagi iaitu waktu pendaki mula turun dari puncak, sedangkan saya masih di Sayat-Sayat. Walaupun tidak sampai ke puncak, saya gembira kerana dapat merasai cabaran pendakian yang berbeza di Gunung Kinabalu," katanya.
Berikutan itu, Adam menyimpan tekad untuk kembali mendaki Gunung Kinabalu dengan misi untuk menawan puncaknya. Katanya, kegagalan sampai ke puncak dalam cubaan pendakiannya semalam akan dijadikan panduan untuk menawan semula Gunung Kinabalu pada misi akan datang.
"Mungkin saya perlu bergerak awal untuk pendakian ke puncak dari Laban Rata, selain cuba mempercepatkan pergerakan supaya dapat menepati masa ditetapkan untuk tiba di puncak," katanya yang mengambil masa sembila jam untuk turun ke Pondok Timpohon.
Penuntut pengajian komunikasi di UIA itu sebelum ini mendapat perhatian ramai kerana sering kelihatan merangkak ketika mendaki beberapa bukit seperti Bukit Broga, Bukit Tabur, Bukit Gasing, Bukit Saga dan Bukit Kutu di Selangor.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment