Paroi: Sabah bertekad melakukan kejutan ke atas Negeri Sembilan dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.
Pengendalinya, Jelius Ating berkata walaupun berdepan pendahulu Liga Perdana itu yang dijangka mendapat sokongan ribuan penyokong mereka, ia bukanlah alasan bagi skuad Sang Badak untuk menyerah kalah lebih awal."Di atas kertas, Negeri Sembilan memang menjadi pilihan apatah lagi selepas mereka memenangi aksi suku akhir pertama di Kota Kinabalu, tapi ia bukan semudah itu kerana kami tetap akan bermain habis-habisan untuk memburu kemenangan di Paroi.
"Memang sasaran utama kami ketika ini ialah untuk memastikan Sabah terus kekal dalam Liga Perdana musim depan, tetapi kami juga tidak mahu melepaskan peluang ini (mara ke separuh akhir Piala FA)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Bekas pemain berusia 46 tahun itu berkata, beliau akan mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama ketika menewaskan Kuantan FA 2-1 di Stadium Likas, minggu lalu.
"Jika ada perubahan pun, ia tidak banyak, mungkin saya akan rehatkan pemain bek kiri iaitu Jenius Karib untuk diganti dengan pemain lain kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
"Saya juga mengekalkan keputusan untuk tidak menurunkan (Jonathan) Behe dan (Sofiane) Choubani namun, saya yakin pemain tempatan kita mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan mereka," katanya.
Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas 1 April lalu, Negeri Sembilan berjaya menundukkan Sabah 1-0 sekali gus memiliki kelebihan jaringan tempat lawan untuk aksi kedua, malam esok.
Selain perlawanan Piala FA, dua pasukan ini juga sudah bertembung dalam aksi Liga Perdana 20 Januari lalu di Paroi, dengan keputusan memihak kepada tuan rumah 3-0.
Post a Comment