Spesis terakhir Badak Sumbu Sumatera jantan Dunia mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu

Kematian Tam juga berkaitan dengan faktor usia selain organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan, mati

Lahad Datu: Spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan di negara ini yang dinamakan Tam, mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata beliau dimaklumkan berita sedih itu oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.


“Dengan rasa dukacitanya, Tam mati tengah hari tadi... kita sudah melakukan apa yang perlu. Pada minggu terakhirnya (Tam), ia membabitkan penjagaan paliatif yang sebaiknya oleh pasukan Borneo Rhino Alliance (BORA) di bawah kendalian Dr Zainal Zahari Zainuddin, di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin.


“Punca kematian akan dimaklumkan kemudian selepas autopsi dilakukan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.


Christina berkata, kematian Tam juga berkaitan dengan faktor usia selain organ dalamannya tidak berfungsi dengan baik.


Minggu lalu, Tam yang dianggarkan berusia lebih 35 tahun hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.


Tam ditangkap di ladang Kretam, sebuah kawasan kelapa sawit di Lahad Datu, Ogos tahun 2008,


Ketika ditangkap, Tam dianggarkan berusia pertengahan 20-an, bermakna kini ia sudah memasuki umur tua bagi seekor badak sumbu Sumatra.

Sejak 2011, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatra daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini, termasuk secara in vitro dan kerjasama dengan Indonesia.

Usaha untuk mencari pasangan kepada Tam juga lenyap apabila Puntung yang ditangkap pada tahun 2011 didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim, manakala Iman yang ditangkap pada tahun 2014 pula didapati berdepan masalah sama.

Puntung kemudian dimatikan pada tahun 2017 kerana kanser dan kesakitan yang dialaminya, meninggalkan hanya Iman satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.