Sabah putuskan beli sendiri vaksin COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun




KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk membeli vaksin sendiri bagi menampung kekurangan bekalan buat sementara ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu juga sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan gangguan bekalan vaksin yang boleh mejejas usaha mencapai imuniti kelompok di negeri ini.

Katanya, Kabinet negeri mengambil maklum mengikut sumber-sumber yang sahih ada kemungkinan bekalan vaksin Pfizer akan mengalami gangguan pengeluaran.

Menurutnya, Malaysia tidak terkecuali mendapat impak akibat gangguan pengeluaran terbabit sebagaimana negara lain yang menggunakan vaksin berkenaan.

"Kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia membeli vaksin sekiranya terdapat kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera.


Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (dua dari kanan) memerhatikan seorang pekerja industri mendapatkan vaksin di pusat pemberian vaksin di Kota Kinabalu.
"Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, GLC diminta supaya menggunakan sebahagian daripada keuntungan perniagaan mereka untuk membeli vaksin bagi kakitangan dan pekerja serta selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat yang berkelayakan.

Masidi berkata, inisiatif berkenaan akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah.

"Syarikat-syarikat swasta khususnya syarikat perladangan besar juga amat digalakkan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan pekerja mereka.

"Syarikat berkenaan disaran membeli vaksin untuk kegunaan pekerja mereka sendiri tanpa menunggu vaksin percuma yang diberi oleh kerajaan.

"Kita sedia maklum sebahagian besar sekitar 80 peratus daripada pekerja-pekerja ladang adalah rakyat asing. Program CSR ini akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah, tidak kira warganegara atau bukan warganegara," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk membenarkan ladang-ladang besar yang berjaya memberi vaksin 100 peratus kepada pekerja mereka (termasuk keluarga) untuk beroperasi semula dengan kapasiti tenaga sepenuhnya.

Menurutnya, syarikat Qhazanah Sabah Sdn Bhd (Warisan Harta SB) yang juga GLC dilantik oleh Pharmaniaga Bhd sebagai wakil penjualan vaksin Sinovac di Sabah.

"Syarikat yang berhasrat membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka boleh menghubungi terus Qhazanah Sabah di Kota Kinabalu.

"Cadangan menggalakkan syarikat-syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja mereka bertujuan mempercepatkan Sabah mencapai imuniti kelompok.

"Pada masa sama, ia membolehkan syarikat berkenaan beroperasi sepenuhnya apabila semua pekerjanya lengkap diberi vaksin seterusnya akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri kita," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post