Gagal patuhi SOP, 25 Pelajar matrikulasi Labuan diarah kembali ke kampus tiada surat kebenaran polis

KOLEJ Matrikulasi Labuan. Foto Hiasan.
Gagal patuhi SOP, tiada surat kebenaran polis.

Seramai 25 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang terkandas di kampus susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) \ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelajar yang kebanyakannya perempuan yang berasal dari Limbang, Sarawak itu dilihat turun dari bas kolej di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di pusat bandar kira-kira 7 pagi tadi, sebelum polis di terminal meminta mereka kembali semula ke kampus.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman, berkata mereka gagal mengemukakan surat pelepasan daripada Balai Polis Labuan dan perjalanan pulang mereka melalui bot diuruskan secara peribadi.

Katanya mereka sepatutnya menunggu SOP dan mesti terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh termasuk ujian calit sebelum dibenarkan pulang.

"Labuan masih diklasifikasikan sebagai zon kuning COVID-19, dan kami masih menunggu SOP daripada kerajaan Persekutuan.

"Kami masih tidak pasti, sama ada kami boleh atau tidak membenarkan pelajar yang berada di zon kuning pulang ke kampung mereka yang mungkin berada di zon merah, kuning atau hijau," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.


Dr Fary Akmal berkata, jawatankuasa itu dalam proses mendapatkan kelulusan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk urusan kepulangan pelajar yang masih terkandas di kampus masing-masing.

Selain Kolej Matrikulasi Labuan, pulau berkenaan juga menempatkan Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah.

Dianggarkan ribuan pelajar masih berada di asrama masing-masing.


Pergerakan pulang pelajar institusi pengajian tinggi yang terkandas berikutan penguatkuasaan PKP bermula semalam, membabitkan universiti di zon tengah. – BERNAMA

1 Comments

  1. Simpati juga dengan pelajar ini, moga mereka tabah..tak apa ujian kecil sahaja tetapi memerlukan kesabarab dan kakuatan mental jga keadaan begini kan

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post