Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony (tengah) keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mendengar pertuduhan dihadapi di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu
Menteri Sabah mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, atas satu lagi pertuduhan bersubahat kes pecah amanah membabitkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15,545,400.

P eter membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Peter didakwa melakukan kesalahan antara 22 Julai 2014 hingga 19 November 2015 di Beverly Hills Plaza, Jalan Bundusan, Penampang, iaitu bersubahat dengan Michael Percius Ubu yang berperanan sebagai seorang ejen kepada RISDA dan atas kapasiti itu diamanahkan wang berjumlah RM15,545,400, yang dibayar melalui cek Bank Muamalat ke dalam akaun Ambank milik Tetuan Michael Ubu & Co.

Bayaran itu adalah 10 peratus daripada harga jualan bagi pembelian tanah ladang kelapa sawit seluas 6,768.688 ekar (2,739.191 hektar) di Sungai Pinangah dan Sungai Labau, Tongod, dan harta itu dengan curangnya dilepaskan, melanggar kontrak dengan RISDA dan kesalahan berkenaan adalah hasil persubahatan tertuduh.

Terdahulu dalam prosiding itu, peguam yang mewakili Peter memohon mahkamah mengguna pakai semula jaminan dan syarat tambahan yang dikenakan terhadap tertuduh dalam kes sebelum ini memandangkan kes berkenaan adalah berkaitan.

Pada 11 Jun lalu, Peter yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM8.75 juta, juga berkaitan pembelian tanah RISDA.

Dalam kes itu, mahkamah membenarkan Peter diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin tempatan, serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sekali dalam dua bulan.

Sehubungan itu, mahkamah hari ini membenarkan permohonan mengguna pakai jaminan terdahulu dan Peter hanya perlu menandatangani surat jaminan baharu serta sebutan semula kes berkenaan pada 4 Ogos ini, bersekali dengan kes terdahulu dihadapinya.


Pendakwaan dikendalikan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya SPRM iaitu Mohamad Fadhly Mohamad Zambry, Nartiah F Mirchelle Sambatan, Amin Fakri dan Mohd Faliq Basarudin manakala Peter diwakili empat peguam iaitu Dominic Chew, Datuk Douglas Lind, Martin Tommy dan Luke Ressa Balang.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.