Bung Moktar bertanding di kerusi DUN Lamag
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin memberi bayangan bahawa terdapat banyak pemimpin dari Umno Sabah yang berpotensi termasuk dirinya untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri negeri itu, sekiranya parti itu mendapat majoriti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang."Umno Sabah ada banyak calon ketua menteri. Saya boleh. Timbalan saya pun boleh (Jefri Arifin, Timbalan Ketua Bahagian Umno Kinabatangan), Datuk Rahman (Abdul Rahman Dahlan) boleh dan Datuk Hasnol (Mohd Hasnol Ayub, Ketua Umno Bahagian Penampang) boleh.
"Banyak yang boleh. Kalau boleh jadikan ketua menteri 10 orang, Semua boleh," katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung calon ketua menteri Umno pada PRN Sabah kali ini.'
Semalam Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mengesahkan beliau akan 'turut serta' dalam PRN Sabah kali ini dengan bertanding di kerusi baru, DUN Lamaq.
Selain itu, beliau juga mengisytiharkan timbalannya Jefri Arifin akan bertanding di DUN Sukau pada PRN nanti.
Diramalkan, Umno Sabah kemungkinan akan menghadapi isu domestik untuk mencapai kata sepakat berhubung calon ketua menteri selepas
Bagaimanapun, spekulasi mengatakan bekas ketua menteri Musa Aman tidak sehaluan dengan badan perhubungan Umno negeri Sabah yang kini diterajui oleh Bung Moktar.
Kemungkinan ini dijangkakan tercetus berkaitan usaha mencapai kata sepakat mengenai calon ketua menteri Sabah, sekiranya Umno dan sekutunya dapat menewaskan Warisan.
Untuk rekod, selain Bung Moktar selaku ahli parlimen tunggal Umno di Sabah, seorang lagi pemimpin yang bertahan dalam parti itu ialah Musa Aman sendiri sebagai Adun Sungai Sibuga.
PRN Sabah diadakan selepas usaha Musa menumbangkan Kerajaan Warisan-PH tidak berjaya.
Terdahulu, Bung Moktar mempengerusikan mesyuarat Umno Sabah pagi tadi untuk membincangkan agihan kerusi yang pertandingkan, mengenal pasti calon, menyusun semua jentera serta mengenal pasti pengundi.
"Hari ini kami telah memutuskan Umno Sabah, BN dan rakan-rakan yang lain kita akan bertanding 73 kerusi melawan Warisan.
"Ini bermakna Umno Sabah akan berunding di kalangan komponen BN dalam sehari dua ini dan seterusnya kita akan berunding dengan rakan-rakan kita yang tidak pro dengan Warisan. Perkara ini penting sebab Umno ingin memastikan kemenagangan dalam PRN akan datang ini," katanya.
Tambah beliau bahawa, PRN kali ini sebagai luar biasa sama ada bagi Warisan atau Umno Sabah.
"Sebab di antara parti, masing-masing ada signifikan antara satu sama lain. Umno Sabah pun ada kelebihan dia, Warisan pun ada kelebihan dia ada juga kelemahan dia," katanya.
'Bersatu nak tanding 45? Tak apa, kita bincang nanti'
Ketika dihubungi, Bung Moktar memberitahu bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan BN Sabah dan rakan-rakan yang lain termasuk Bersatu berkaitan pengagihan kerusi.
"Bersatu umum tanding 45 kerusi. Tidak apa. Kita akan bincang nanti.
"Adalah mustahil untuk memastikan satu lawan satu di semua kerusi. Kerana masih ada parti yang tidak berpihak dengan Umno mahupun Warisan.
"Tapi, di peringkat PN Plus Plus, kita akan memastikan tidak ada pertindihan," katanya.
Beliau turut yakin bahawa segala pengagihan kerusi akan diselesaikan dalam masa dua minggu.
Sementara itu, Bung Moktar juga berkata Umno akan memastikan kerusi ditandinginya pada PRN kali ini tidak kurang daripada jumlah kerusi pada pilihan raya lalu.
"Umno ada kelebihan dari pada parti-parti lain. Kita telah bertapak berpuluh tahun.
"Kita ada kekuatan kita, tapi kita tidak mengenepikan parti lain semua ada kekuatan dia," katanya.
DUN Sabah dibubarkan Khamis lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 Sept ini.
Rabu lalu, Musa mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri baru tetapi Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.
Pada PRU14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan namun pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi menjadikan jumlah 73 DUN di Sabah pada PRN akan datang.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment