Mahu pujuk isteri sampai terbakar rumah di Flat Kepayan Ridge

http://beritaup2date.blogspot.com/ KEBAKARAN hampir memusnahkan unit kediaman milik pasangan berkenaan di tingkat dua Flat Kepayan Rigde.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)

Nak pujuk isteri sampai terbakar rumah

Selepas gagal memujuk isteri yang mengunci diri dalam bilik, seorang suami cuba memaksa wanita itu membuka pintu dengan membakar sekeping kertas yang diselitkan di bawah pintu bilik.

Bagaimanapun, idea yang digunakan lelaki berusia 54 tahun itu akhirnya membawa padah apabila mengakibatkan kebakaran dan menyebabkan isterinya melecur terkena api.


Kejadian di Flat Kepayan Rigde kira-kira jam 11 malam tadi itu mengakibatkan mangsa berusia 48 tahun itu melecur di leher dan kini terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) Kota Kinabalu.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati mangsa dan suaminya minum minuman keras bersama-sama di rumah berkenaan sejak jam 3 petang hari yang sama.

Namun katanya, berlaku pertelingkahan antara mereka menyebabkan mangsa merajuk dan terus mengunci diri di dalam bilik tidur.

"Suspek kemudiannya cuba memujuk mangsa untuk membuka pintu bilik namun isterinya itu berkeras enggan membuka pintu.

"Suspek kemudiannya bertindak membakar sekeping kertas yang diselitkan di ruang bawah pintu bagi menakutkan mangsa supaya keluar dari bilik," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Habibi berkata, difahamkan dalam masa sama, mangsa pula meletakkan sehelai kain di ruangan pintu untuk menghalang suspek daripada memasukkan kertas yang dibakar.

Katanya, tindakan mereka itu bagaimanapun mengakibatkan berlaku kebakaran di bilik berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan.

"Siasatan lanjut mendapati, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada di rumah manakala anak mereka keluar bekerja.

"Suspek ditahan di tempat kejadian pada jam 11.30 malam dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Aru untuk tindakan lanjut," katanya.


Habibi berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kebakaran dipercayai berlaku pada jam 10.57 malam.


Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman segera dilakukan sebelum api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.18 malam.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.