Standing ovation buat seluruh rakyat dan pasukan bola sepak Sabah

Sabah tidak mendapat kebenaran laluan khas daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk terbang keluar daripada negeri yang berdepan zon merah pandemik Covid-19. (Foto : FB Johor Southern Tigers)

‘Standing ovation buat seluruh rakyat dan pasukan bola sepak Sabah’- OLEH MOHD FARIQ

HARI ini kita dikejutkan dengan satu perkhabaran sebaik Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tiada kelibat pasukan bola sepak Sabah untuk kempen TM Piala Malaysia 2020 yang bakal membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November ini.

P
enyingkiran’ Sabah tiada kena mengena dengan kegagalan secara merit untuk bertanding di kejohanan paling tertua di Asia Tenggara tersebut.


 

Sebaliknya keputusan berat itu terpaksa dicapai selepas pengendali Liga Malaysia telah mengesahkan Sabah tidak mendapat kebenaran laluan khas daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk terbang keluar daripada negeri yang berdepan zon merah pandemik Covid-19.

Umum mengetahui bahawa Sabah kini sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah dilanjutkan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga 9 November ini.

Tidak sekadar gagal bermain di TM Piala Malaysia 2020, Sabah juga tidak dapat menamatkan perlawanan terakhir CIMB Liga Super yang sepatutnya berlangsung di Stadium Hang Jebat Melaka pada 31 Oktober ini selepas MFL mengumumkan kemenangan 3-0 diberikan kepada UiTM FC di atas tidak dapat hadir ke venue itu.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikuli dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan pasukan bola sepak Sabah berhak mendapat ‘standing ovation’ di atas pengorbanan besar mereka sehingga terpaksa menarik diri daripada bertanding TM Piala Malaysia 2020 demi kesejahteraan bumi Malaysia.


Kurniawan percaya keputusan yang dibuat oleh MKN ini adalah demi mengutamakan keselamatan semua pihak. (Foto : MFL)

Secara peribadi, penulis cukup rapat dengan pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto dan pernah membuat liputan tentang dirinya sejak dari karier pemain.

Mendengar nada suara Kurniawan bagainya reda dan menerima hati yang terbuka di atas keputusan MFL itu tetapi penulis menyedari rasa ralat sosok legenda Indonesia itu masih ada di dalam benak fikirannya.

Ini kerana insiden hitam sebegini bukanlah peristiwa pertama kali berlaku dalam karier beliau dan jelas pengunduran Sabah bermain dari TM Piala Malaysia telah mengimbau kembali kenangan pahit lalu.

Bercakap pengalaman kali pertama, Kurniawan memberitahu darurat pernah berlaku di Indonesia yang memaksa liga negara jiran itu terpaksa dihentikan demi keselamatan.

“Dulu pernah terjadi bencana atau darurat di Indonesia pada tahun 1998. Ketika itu saya bermain di Pelita Jaya tetapi liga terpaksa dihentikan kerana kerusuhan di Indonesia yang berdepan krisis ekonomi negara.

“Kali kedua saya berdepan insiden sebegini ketika saya bermain bersama PSS Sleman tetapi liga terpaksa dihentikan kerana gempa bumi besar berlaku di Yogyakarta pada tahun 2006 di mana Yogyakarta adalah tempat berpangkalan buat kami,” katanya kepada CakapSukan.

Pun begitu di sebalik rasa sedih dengan keputusan MKN di mana semua pemain telah bersedia untuk terbang ke Melaka bagi aksi terakhir liga serta mempersiapkan diri bagi mengharungi TM Piala Malaysia 2020 namun Kurniawan menganggap nasib tidak menyebelahi pasukan mereka.

Beliau percaya keputusan yang dibuat oleh MKN ini adalah demi mengutamakan keselamatan semua pihak susulan penularan wabak COVID-19 yang masih membimbangkan khususnya di Sabah ketika ini.

Sekali lagi, penulis melahirkan rasa kagum kepada pasukan bola sepak dan rakyat Sabah ketika berdepan detik sukar pandemik Covid-19 ini yang jelas memberikan impak kepada seluruh sektor dalam negara.

Bagi penulis, Sabah telah menunjukkan watak seorang juara biarpun mereka tidak dapat bertanding dalam kempen TM Piala Malaysia 2020 dan pengorbanan mereka ini harus dijadikan kenangan dalam lipatan sejarah bola sepak negara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.




Di sini penulis ingin mengajak orang ramai supaya mendoakan bukan sahaja Sabah tetapi seluruh negara mendoakan agar kita dapat kembali menikmati kehidupan normal sekali gus menamatkan pandemik Covid-19 demi generasi muda akan datang.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)


Post a Comment

Previous Post Next Post