Rakyat di negeri ini diminta berwaspada dengan kemungkinan berlakunya gempa bumi berskala besar di Lahad Datu dalam masa terdekat ini.
Rakyat di negeri ini diminta berwaspada dengan kemungkinan berlakunya gempa bumi berskala besar di Lahad Datu dalam masa terdekat ini.Menurut beliau, gempa yang berlaku itu berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh, keretakan dan kerosakan kepada struktur bangunan
Kemungkinan itu berdasarkan kedudukan Lahad Datu yang dikenal pasti antara lokasi paling kerap dilanda gempa bumi di negeri ini, selain Ranau, berikutan kewujudan dua sesar aktif di daerah itu dengan ada antara gempa sebelum ini dikesan berpusat di laut.
Pakar geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata walaupun kemungkinan tsunami akibat gempa bumi tempatan sangat kecil, gegaran kuat boleh menyebabkan tanah runtuh bawah laut dan ia boleh menghasilkan tsunami.
“Tsunami boleh juga berlaku tetapi sangat kecil kemungkinannya sebab air laut (di perairan Lahad Datu) agak cetek. Kita perlu air laut sangat dalam untuk menghasilkan tsunami yang signifikan.
Sebelum ini, Dr Felix mendedahkan kawasan pantai timur dan utara Sabah bermula dari Kudat hingga ke Tawau berisiko tinggi dilanda tsunami jika berlaku gempa bumi kuat dasar laut di Laut Sulu atau Laut Sulawesi.
Beliau mendedahkan tsunami setinggi satu hingga lima meter dari perairan Filipina dan Indonesia itu boleh sampai dalam masa sesingkat 30 minit sebelum membadai pantai timur dengan Tawau dikenal pasti paling terjejas kerana bentuk muka buminya yang rata.
Katanya, risiko tsunami adalah jelas berdasarkan rekod Filipina bahawa kawasan utara dan pantai timur Sabah pernah dilanda tsunami setinggi dua meter selepas gempa bumi kuat berukuran 7.5 skala Richter berpusat di Laut Sulu, Zamboanga pada 21 September 1897.
Sementara itu, katanya kawasan pantai barat termasuk bandar raya ini juga boleh diancam tsunami, namun risikonya agak rendah berbanding kawasan pantai timur berikutan kedudukannya yang jauh dari lokasi pusat gempa bumi dasar laut di negara jiran.
“Masih ada risiko, tetapi agak rendah sebab kedudukan sumber tsunami di Peparit Manila, Filipina yang agak jauh berbanding sumber tsunami di Peparit Sulu dan Peparit Sulawesi untuk pantai timur Sabah,” katanya.
Hakikatnya, Sabah yang terletak berhampiran Lingkaran Api Pasifik sudah beberapa kali dilanda gempa bumi sebelum ini. Cuma kesan kerosakan yang kecil akibat gempa bumi berkenaan menyebabkan tidak ramai yang atau ambil kisah sehinggalah kejadian di Ranau yang menjejaskan Gunung Kinabalu itu.
Faktor pola gempa bumi inilah yang membimbangkan pakar geologi kerana satu gempa bumi lebih besar dijangka melanda Sabah pada bila-bila masa sahaja. Kali ini, lokasinya ialah Lahad Datu, iaitu sebuah daerah membangun yang terkenal dengan aktiviti perladangan dan industri berkaitan kelapa sawit di pantai timur negeri ini.
Jangkaan itu berdasarkan rekod gempa bumi di daerah itu yang pernah mencatat skala 6.2 pada tahun 1976, iaitu gempa bumi paling kuat pernah berlaku di Malaysia setakat ini.
Berdasarkan rekod Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi yang berpusat di Lahad Datu dan sekitarnya berlaku hampir setiap tahun dengan dua daripada gempa itu berskala 5.7, iaitu pada tahun 1984 dan 1994.
Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata rekod USGS menunjukkan pola gempa bumi kuat dan sederhana di daerah itu berlaku lapan tahun hingga 10 tahun sekali.
"Pada tahun 2004, iaitu 10 tahun selepas gempa sederhana berukuran 5.7 pada 1994, berlaku satu gempa bumi tetapi dengan skala lemah di kawasan Tungku, Lahad Datu.
"Gempa bumi juga berlaku pada tahun lalu di Kunak, juga dengan skala lemah. Ini menunjukkan selepas gempa bumi sederhana pada 1994 dan gempa bumi kuat pada 1976, belum ada gempa dengan skala sama sehingga kini.
"Apa yang membimbangkan, jika gempa bumi itu berlaku, ia mungkin pada skala besar dan menyamai apa yang berlaku pada tahun 1976," katanya.
Berdasarkan rekod USGS, gempa bumi pada tahun berkenaan dikesan pada kedalaman 8.6 kilometer dan pada kedudukan 4.94 utara 118.25 timur, kira-kira 12 kilometer ke barat daya bandar Lahad Datu.
"Pada tahun itu, walaupun berlaku gegaran kuat mengakibatkan banyak retakan tanah dan bangunan, kemusnahan tidak terlalu besar kerana bandar Lahad Datu ketika itu belum membangun.
"Sekarang, keadaan pembangunan jauh berbeza dengan jumlah penduduk yang besar dan banyak bangunan, khususnya premis komersial, industri dan perumahan," katanya.
"Bencana gempa bumi di negara ini hanya difikirkan selepas apa yang berlaku di Ranau kerana selama ini kita tidak berdepan masalah gempa yang serius, selain lebih menumpukan kepada bencana lain seperti banjir, kemarau dan ribut.
"Walaupun agak terlewat, persediaan rapi perlu diwujudkan segera untuk menghadapi gempa bumi, khususnya di Sabah berdasarkan kewujudan zon sesar aktif ketara di negeri ini," katanya.
Felix berkata, berdasarkan kajian Kumpulan Kerja Sesar Aktif dan Gempa Bumi yang turut disertainya, wujud dua zon sesar aktif di Lahad Datu iaitu sesar barat laut-tenggara dan sesar timur laut-barat daya.
Selain Lahad Datu, kawasan lain seperti Tawau, Kunak, Semporna dan keseluruhan kawasan berhampiran Teluk Darvel di pantai timur Sabah bakal menerima kesan teruk jika berlaku gempa bumi kuat.
Rekod gempa bumi di Lahad Datu:
- Lebih 20 gempa bumi utama direkodkan sejak 1976 hingga tahun lalu.
- Gempa bumi kuat 6.2 (1976) dan gempa sederhana 5.7 (1984, 1994).
- Pusat gempa di sekitar bandar Lahad Datu, Tungku, Teluk Darvel, Kunak dan Semporna.
- Dua zon sesar aktif iaitu barat laut-tenggara dan timur laut-barat daya.
Senarai Gempa Bumi Utama di Lahad Datu (1976-2015):
(Tarikh - Magnitud - Kedalaman(KM))
- 25 Julai 1976 - 5.3 - 33
- 26 Julai 1976 - 6.2 - 8.6
- 26 November 1982 - 4.5 - 33
- 14 Mac 1984 - 5.7 - 50
- 4 Julai 1992 - 4.6 - 10
- 2 November 1994 - 5.7 - 55
- 6 Disember 1996 - 4.4 - 33
- 1 Oktober 2004 - 3.6 - 33
- 9 April 2008 - 4.5 - 49
- 21 Ogos 2010 - 4.2 - 54
- 28 Mei 2012 - 4.6 - 39
GEMPA BUMI BUKAN KEJADIAN ASING BAGI PENDUDUK LAHAD DATU, KHUSUSNYA ETNIK TEMPATAN DI DAERAH ITU. MALAH, ETNIK IDAHAN ITU DIKATAKAN DAPAT 'MENGESAN' KEHADIRAN GEMPA BERDASARKAN CIRI GANJIL SEPERTI BUNYI SIULAN ANGIN.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment