56 Rumah Kampung Titingan Musnah Terbakar.

Kickbola.net 56 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Tawau



TAWAU: Lebih 100 penghuni Kampung Titingan, di sini, hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di perkampungan atas air berkenaan, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sekurang-kurangnya 56 rumah berstruktur kayu dilaporkan musnah terbakar selepas api marak terlalu cepat dipercayai disebabkan faktor angin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 50 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 10.55 dan seterusnya kerja-kerja pemadaman punca-punca api diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Affendy berkata, kedudukan rumah yang terlalu hampir antara satu sama yang lain dipercayai menjadi punca api cepat merebak.


Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.


“Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.