AIM lanjut tempoh moratorium hingga 31 Ogos

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin



Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melanjutkan lagi tempoh moratorium automatik pembayaran balik pinjaman bermula 1 hingga 31 Ogos 2021.

Ini bermaksud AIM telah memberi moratorium selama tiga bulan kepada semua peminjam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, moratorium pembayaran itu membabitkan nilai RM577.3 juta iaitu RM192.4 juta sebulan yang memberi manfaat kepada seramai 378,507 peminjam di seluruh negara.

“Bagaimanapun, Sahabat AIM (peminjam) yang ingin membuat pembayaran balik pinjaman masih boleh berbuat demikian dengan membuat pembayaran tanpa tunai (CMCCS atau online banking – Akaun Kutipan AIM) sepanjang tempoh moratorium dan pembayaran tersebut sekali gus akan diguna untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lajim berkata, peminjam AIM juga boleh memohon untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal pinjaman sekali gus apabila Mesyuarat Pusat (MP) dibuka semula bagi setiap pembayaran yang dibuat sepanjang tempoh moratorium.

Menurut beliau, kutipan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) pula bagi tempoh setengah tahun kedua 2021 akan dibuat apabila MP AIM dibuka semula.

Jelas beliau, AIM akan mengeluarkan pekeliling MP baharu untuk dilaksanakan dengan mengambil kira norma baharu bagi mengelak penularan Covid-19 serta menjaga kesejahteraan pelanggan dan kakitangan AIM.

“Bagi Sahabat AIM yang mencarum untuk setengah tahun pertama 2021 akan kekal dilindungi dan akan menerima manfaat seperti biasa jika berlaku kecelakaan atau bencana sepanjang tempoh moratorium berkuatkuasa,” katanya.

Tambah beliau, pada masa sama AIM akan menutup operasi di semua cawangan seluruh Malaysia bagi tempoh yang sama.

“Manakala bagi Pejabat Wilayah dan Ibu Pejabat akan kekal beroperasi mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya. – K! ONLINE

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.