Nurazilah Othman dan Dr Sirhajwan Idek dari Kolej Vokasional Keningau membawa pulang geran bernilai £ 1,500 (kira-kira RM8,700) kerana mempersembahkan projek yang paling menjanjikan dengan berpotensi menyatukan orang melalui pembelajaran bahasa Inggeris.
KENINGAU: Pasukan guru dari Kolej Vokasional Keningau yang terdiri dari dua orang guru Bahasa Inggeris, Puan Nurazilah Othman dan Dr. Sirhajwan Idek, telah berjaya memenangi anugerah antarabangsa Simon Greenall Award dimana mereka akan menerima geran berjumlah GBP 1500 (RM 8768) untuk memperkembangkan projek seni mereka yang bertajuk “Dau Dau”.
Sebelum juara pertandingan ini terpilih, sesi temubual dan pembentangan telah dilaksanakan untuk tiga peserta atau pasukan terbaik dari seluruh dunia dan ianya diadili oleh lima hakim.
Dr. Sirhajwan Idek dan Nurazilah Othman diumumkan sebagai pemenang di laman sesawang Macmillan Education pada 9 Julai 2021 yang boleh diakses melalui pautan ini: https://www.macmillanenglish.com/sgaward
Projek “Dau Dau” yang bermaksud dulu-dulu dalam bahasa Bajau merupakan satu projek seni yang menggabungkan tiga bidang seni iaitu seni penulisan seperti cerpen dan puisi, seni persembahan contohnya tarian dan teater serta seni visual terutamanya lukisan dan media.
Tema utama projek ini adalah budaya etnik khususnya kaum di Sabah namun ianya juga meneroka isu-isu semasa seperti pandemik, keamanan dunia dan kesihatan mental.
Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantara dan ianya diterapkan dalam setiap aktiviti. Melalui projek ini, ramai pelajar mereka yang telah berjaya menerbitkan hasil karya mereka di majalah sastera, membuat persembahan tarian, cerita dan puisi di festival seni serta memenangi beberapa pertandingan penulisan.
Anugerah Simon Greenall ini merupakan anjuran Macmillan Education dan International House dan ianya diwujudkan sebagai penghormatan kepada tokoh pendidikan Bahasa Inggeris, Simon Greenall, dengan memberi geran wang ringgit kepada projek Bahasa Inggeris yang mampu memupuk semangat komuniti.
Pasukan ini merupakan penerima pertama anugerah ini yang dilancarkan pada awal tahun 2021 dan ianya terbuka kepada golongan pendidik di seluruh dunia.
Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin menyatakan rasa gembiranya dengan pencapaian kedua-dua guru ini yang telah berjaya melatih para pelajar kolej tersebut dalam bidang seni sehingga ada yang telah berjaya menempa kejayaan di peringkat global.
Dia berharap agar bidang seni dapat diperluaskan lagi memandangkan ianya mampu memupuk nilai murni dan kreativiti pelajar.
Post a Comment