Jabatan Tanah dan Ukur halang aktiviti haram di Tongod

JTU serbu lokasi pengambilan batu bukit haram



TONGOD: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri mengambil tindakan pantas terhadap aktiviti pengambilan batu bukit secara haram di Kampung Kotodon, Entilibon, sini kelmarin.

Pengarahnya, Sr. Bernard Liew Chau Min berkata, pasukan penguatkuasa jabatan dikerahkan ke lokasi tersebut berikutan maklumat orang ramai dan aduan penduduk kampung mengenai kegiatan haram itu.

“Kegiatan itu dilakukan di atas tanah milik Negeri dan Pejabat Tanah Daerah Tongod telah mengesahkan bahawa tidak ada lesen yang dikeluarkan kepada operator yang terlibat untuk kegiatan tersebut.

“Oleh itu, pasukan penguatkuasa kami digerakkan untuk menyerbu kawasan terlibat sekitar jam 11.00 pagi kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, satu jentera excavator EX200 dan sebuah lori 10 tan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengambilan batu bukit secara haram itu disita semasa serbuan tersebut tetapi tidak ada pekerja yang ditahan di lokasi kerana mereka berjaya melarikan diri.




“Kami telah membuat laporan polis berhubung dengan serbuan dan penyitaan itu.


“Kertas siasatan akan dibuka setelah semua maklumat yang diperlukan diperolehi. Tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terlibat sesuai dengan peruntukan di bawah Ordinan Tanah Negeri Cap 68.,” katanya.


Bernard menegaskan jabatan akan terus memantau kegiatan di bukit berbatu, kerja pengambilan tanah, pasir sungai dan aktiviti perlombongan batu di seluruh negeri dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan yang dilakukan tanpa kebenaran.

Post a Comment

Previous Post Next Post