Jangkitan dalam wad, cetus kluster baharu di Sabah

Kickbola.net Kluster Jalan Utara Dua, Sandakan yang dikategorikan sebagai kluster pusat rawatan itu merekodkan 13 kes positif termasuk 2 kes membabitkan petugas kesihatan.




KOTA KINABALU: Penularan wabak Covid-19 di wad lelaki sebuah hospital di Sandakan mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Sabah semalam.

Kluster Jalan Utara Dua, Sandakan yang dikategorikan sebagai kluster pusat rawatan itu merekodkan 13 kes positif termasuk dua kes membabitkan petugas kesihatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster ini membabitkan lelaki berusia 74 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian saringan Genexpert PCR selepas pemeriksaan oleh pakar perubatan ke atas X-ray dada.

Saringan seterusnya mendapati 11 kes positif masing-masing melibatkan dua petugas kesihatan dan sembilan pesakit lain manakala, satu kes membabitkan penjaga tahanan dan satu kes kontak serumah.

“Bagaimanapun, ujian saringan Genexpert PCR terhadap 28 pesakit di wad berkenaan didapati negatif, sementara 18 petugas kesihatan yang menjalani ujian saringan PCR masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


MASIDI MANJUN
Kluster Jalan Utara Dua itu antara empat kluster baharu dilaporkan di Sabah semalam. Tiga kluster lain adalah Kg Mananam, Tongod, Jalan Stesen TV, Tawau dan Bukit Mas, Kinabatangan.

Kluster Kg Mananam, Tongod membabitkan pengawal keselamatan berusia 49 tahun di sebuah sekolah rendah yang dikesan positif melalui ujian RTK-Ag dan sehingga kini, sebanyak 20 kes positif direkodkan.

Bagi kluster Jalan Stesen TV, Tawau, penularan berlaku di sebuah ladang ternakan ayam membabitkan pekerja buruh bukan warganegara berusia 24 tahun dan kluster ini merekodkan 68 kes positif.

Sementara itu, kluster Bukit Mas, Kinabatangan membabitkan seorang pekerja stor di Ladang Sawit Bukit Mas yang disahkan positif melalui ujian RTK-Ag dan setakat ini, 11 kes positif direkodkan.

Semalam Sabah mencatatkan 516 kes baharu Covid-19 dengan satu kes kematian serta empat kluster baharu.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah 77,940 kes dan kumulatif kes sembuh pula sebanyak 72,694 orang.

Seramai 3,738 pesakit sedang menerima rawatan termasuk 70 pesakit yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala, 19 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.-UTUSAN ONLINE

Post a Comment

Previous Post Next Post