Pegawai farmasi cetus kluster COVID-19 baharu di Sabah

Kickbola.netKluster Jalan Mat Salleh di Sabah tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pegawai farmasi lelaki disahkan positif COVID-19. - Foto hiasan




KOTA KINABALU: Seorang pegawai farmasi mencetuskan kluster baharu berkaitan tempat kerja yang membabitkan beberapa pejabat kerajaan persekutuan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di Jalan Mat Salleh, Sembulan yang dilaporkan di Kota Kinabalu, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster itu tercetus di bangunan Rumah Persekutuan yang menempatkan pejabat JKNS, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah.

Beliau berkata, Kluster Jalan Mat Salleh itu tercetus selepas kes indeks iaitu seorang pegawai farmasi lelaki berumur 26 tahun disahkan positif COVID-19.

Katanya, selain di Kota Kinabalu, kluster itu turut membabitkan kes positif yang dikesan di Putatan, Penampang, Papar dan Ranau dengan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 42 kes, termasuk sembilan kes yang direkodkan, semalam.

"Setakat ini, sebanyak 258 sampel diambil di daerah Kota Kinabalu dengan 18 kes positif dikesan termasuk sembilan kes baharu, manakala 54 sampel didapati negatif dan 186 sampel masih menunggu keputusan ujian saringan.


"Sementara itu, 24 kes pula didaftarkan di luar ibu negeri iaitu masing-masing tiga kes di Putatan dan Ranau serta masing-masing sembilan kes di Papar dan Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 42 kes," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Masidi berkata satu lagi kluster berkaitan majlis pengebumian turut dilaporkan di Sabah semalam iaitu Kluster Nosoob Baru, Penampang.


"Majlis itu dihadiri ahli keluarga dari Kampung Nosoob Baru, Pogunon dant Terawi di Penampang.

Kes indeks ialah seorang wanita berumur 28 tahun yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan pra rawatan.

"Setakat ini kluster itu merekodkan sebanyak 17 kes positif COVID-19, termasuk satu kes baharu," katanya.


Secara keseluruhan, Sabah merekodkan peningkatan kes baharu COVId-19 yang ketara dengan sebanyak 712 kes semalam, iaitu yang tertinggi sejak Januari lalu.

Semalam juga menyaksikan lapan kes kematian iaitu antara yang tertinggi setakat ini, masing-masing tiga kematian dilaporkan di Sandakan, manakala masing-masing satu kematian di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Kudat, Tawau dan Beluran.

Post a Comment

Previous Post Next Post