Faktor geografi, tempat tinggal berselerak di pedalaman Sabah dilihat memberi cabaran kepada Program Imunisasi COVID-19 di negeri ini. Namun... Ada khabar gembira yang boleh diambil kerajaan pusat dan negeri. Menggunakan vaksin yang baharu diluluskan pihak berkuasa kawalan dadah (PBKD) iaitu CanSino kerana hanya memerlukan satu dos suntikan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menambah baik proses vaksinasi COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri dalam usaha meningkatkan jumlah penerima vaksin harian.
Pengarah JKNS Dr Rose Nani Mudin berkata antara strategi yang akan dilaksanakan ialah mempercepatkan tempoh pemeriksaan kesihatan bagi melancarkan lagi proses vaksinasi, supaya lebih ramai dapat menerima suntikan setiap hari. Beliau, yang memulakan tugas sebagai Pengarah JKNS Selasa lepas (13 Julai), berkata penambahbaikan itu dilihat mampu menggandakan jumlah pemberian vaksin sehingga dua kali ganda, selain memastikan sasaran 40 peratus kadar vaksinasi yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara direalisasikan secepat mungkin.
Bagi kawasan pedalaman, Dr Rose Nani berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Sabah telah menetapkan beberapa strategi termasuk memperkenalkan pemberian vaksin satu dos seperti CanSino.Sabah juga tidak mahu ketinggalan dalam konteks ini kerana misi dan visi kita untuk memvaksinasi semua penduduk secepat dan seramai mungkin.
Dr Rose Nani Mudin
Pengarah JKNS
Beliau berkata pihaknya sedang menunggu bekalan vaksin berkenaan untuk diberikan kepada penduduk pedalaman, namun buat masa ini, proses pemberian vaksin di kawasan berkenaan masih diteruskan seperti biasa.
Sementara itu, Dr Rose Nani, yang terlibat secara langsung dalam program vaksinasi di peringkat kebangsaan sebelum ini, akan memanfaatkan pengalamannya untuk meningkatkan kadar serta keupayaan pemberian vaksin kepada penduduk Sabah.
"Saya fikir kaedah yang digunakan di PPV terbabit boleh digunakan di Sabah supaya lebih ramai rakyat dapat divaksin," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat Sabah untuk terus mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan kerap membasuh tangan sehingga negeri itu berjaya memvaksinasi 80 peratus penduduknya, agar kadar jangkitan dan kluster baharu ketika ini dapat dikurangkan.
Dr Rose Nani, sebelum ini menggalas jawatan Timbalan Pengarah (Penyakit Berjangkit) Bahagian Kawalan Penyakit, dilantik sebagai Pengarah Kesihatan Sabah bagi menggantikan Datuk Dr Christina Rundi yang ditukarkan ke Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga. -- BERNAMA
Post a Comment