Sabah perlu lonjakan baharu bekalan vaksin - MP Kota Kinabalu

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin



KOTA KINABALU: Inisiatif “Operasi Lonjakan Kapasiti” di Selangor perlu dilaksanakan juga di Sabah selepas kadar jangkitan kekal pada paras melebihi 1,000 kes bagi hari kedua berturut-turut.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, berkata kempen berkenaan kini menjadi keperluan dilaksanakan susulan pandangan pakar kesihatan negeri ini yang bimbang Sabah kembali merekodkan lonjakan kes jangkitan, seperti mana dicatat selepas pilihan raya negeri, tahun lalu.

Katanya, kerajaan persekutuan sebelum ini menghantar kakitangan perubatan dan sumber daripada pelbagai negeri ke Sabah tahun lalu bertujuan membantu mengurangkan kadar jangkitan, susulan pilihan raya negeri yang merekodkan jumlah tertinggi, 1,199 kes pada 6 November lalu.

“Bagaimanapun, jelas sekali bantuan seumpama itu tidak akan disediakan kerana sumber sedia ada semakin mengecil dan kerajaan mempunyai kurang kapasiti untuk tangani wabak,” katanya dalam kenyataan.

Pakar perubatan Dr Amar Singh HSS dalam ciapannya semalam, berkata kemasukan pesakit di hospital di Sabah meningkat mendadak dengan kadar kematian turut melonjak 84%, berdasarkan perbandingan separuh pertama dengan separuh kedua Julai.


Pakar perubatan Dr Amar Singh HSS berkata Sabah menjadi negeri paling kurang bekalan vaksin diterima dari segi jumlah populasi di negara ini.

Beliau berkata, situasi ini berlaku mengambil kira Sabah sebagai negeri paling rendah bekalan vaksin diterima mengikut jumlah populasi di negara ini.

Foong Hin yang juga Setiausaha DAP Sabah, berkata sekiranya “Operasi Lonjakan Kapasiti” dilaksana di negeri ini, Sabah mempunyai sasaran menyuntik sekurang-kurangnya 60,000 dos vaksin setiap hari.

“Sasaran permulaan 30,000 dos sehari yang diumumkan pada Jun lalu hanya mampu dicapai selepas 21 Julai lalu kerana ketidakadilan pengedaran dan penghantaran lewat vaksin. Tidak patut berlaku penangguhan sekali lagi,” katanya.

Sabah merekodkan 1,035 kes hari ini, 31 kes kurang daripada jumlah jangkitan semalam.

Sabah secara konsisten mencatatkan lebih 700 kes jangkitan sehari bermula 24 Julai lalu, dengan kerajaan negeri menyatakan peningkatan kes berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP), kesan daripada kelesuan “lockdown” berpanjangan.



Foong Hin berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mensasarkan sekadar 60% populasi di negeri ini divaksin menjelang Oktober yang disifatkannya sebagai sudah terlambat.

“Kita cukup memerlukan operasi berkenaan untuk mempercepat vaksinasi, seperti mana inisiatif “Operasi Lonjakan Kapasiti” di Lembah Klang yang mensasar suntikan diberi kepada semua individu berdaftar, dari umur 18 tahun ke atas, atau sekurang-kurangnya menerima satu dos pada 1 Ogos ini,” katanya.

Katanya, beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun, yang mengatakan “lockdown berterusan bukan penyelesaian mengurangkan jangkitan, tetapi kepatuhan SOP serta meningkatkan kadar vaksinasi dengan penghantaran bekalan vaksin tanpa terganggu.

“GRS mungkin dapat mengenal pasti penyelesaian yang betul, namun mereka gagal dalam melihat pelaksanaan segera dalam penyelesaian berkenaan,” katanya.

Foong Hin berkata, Sabah perlu memvaksinasi 2.7 juta populasi dewasa daripada 3.9 juta keseluruhan penduduknya, bagaimanapun sehingga kini hanya menerima 1.8 juta dos, seperti diumumkan Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 Khairy Jamaluddin, di Parlimen, baru-baru ini.


Sejumlah 2.7 juta populasi berkenaan tidak mengambil kira populasi migran, termasuk yang tidak mempunyai dokumen diri, di mana mereka juga perlu divaksin.

“Saya turut difahamkan kita akan menerima 1.8 juta dos vaksin CanSino dan sejumlah 1.2 juta dos Pfizer pada Ogos ini. Bagi memastikan bekalan sampai, apakah rancangan Sabah selanjutnya?” katanya.


Beliau menggesa kerajaan GRS membuat perolehan sandaran daripada Pharmaniaga yang mempunyai stok sedia ada membabitkan 14 juta dos demi memastikan bekalan jaminan vaksin.

Post a Comment

Previous Post Next Post