LAMBAKAN kematian yang terjadi disebabkan virus Covid-19 terutama melibatkan wanita melahirkan anak membuatkan emosi Adira terkesan sehingga berasa fobia. |
Penyanyi Adira Suhaimi mengakui fobia dengan lambakan berita-berita kematian disebabkan virus Covid-19 dalam media sosial hari ini.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 30, memberitahu emosinya paling terkesan apabila membaca kisah ramai kaum Hawa yang meninggal dunia selepas melahirkan anak kerana jangkitan virus Covid-19.
“Sejak akhir-akhir ini banyak lihat hantaran dan berita kematian terutama kisah ramai golongan wanita yang meninggal dunia selepas melahirkan anak kerana Covid-19.
“Sedikit sebanyak perkara tersebut menimbulkan rasa fobia, takut dan tahap kebimbangan yang melampau. Kadang-kadang buat saya rasa sesak nafas. Apa pun saya syukur kebimbangan tersebut masih lagi terkawal,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Kesempatan Bagimu itu memberitahu situasi tersebut berlaku mungkin disebabkan dia juga seorang ibu yang pernah melalui pengalaman melahirkan anak sebelum ini.
“Mungkin semua itu berlaku kerana terlalu banyak berfikir tentang kisah-kisah yang berlaku pada hari ini, rindukan keluarga di Sabah atau disebabkan saya juga seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil,” ujarnya.
Bagi mengelakkan dirinya daripada dihurung perasaan kebimbangan terlampau, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan itu cuba menjauhkan dirinya daripada terdedah dengan berita sedih sebegitu.
“Setiap kali perkara tersebut berlaku, saya akan mengelak daripada membaca berita-berita sedih seperti itu selama beberapa hari.
“Saya juga banyak habiskan masa dengan keluarga dan menonton perkara-perkara positif seperti ceramah yang boleh naikkan semangat saya.
“Saya berdoa agar Allah SWT akan tarik segera musibah Covid-19 ini daripada kehidupan manusia. Saya tak pernah terfikir untuk bercuti atau melancong jika semua ini berakhir tetapi lebih kepada mahu berjumpa semula dengan keluarga yang sudah lama terpisah,” katanya lagi.
Post a Comment