Anak lemas, bapa hilang bila bot disambar petir semasa memancing

CARI: Maritim Malaysia semasa melaksanakan operasi SAR bagi mengesan nelayan hilang.



KOTA KINABALU: Seorang nelayan ditemukan maut manakala bapa kepada mangsa masih hilang semasa memacing di perairan Pulau Dinawan, Kinarut di sini.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kejadian dipercayai berlaku selepas bot mangsa disambar petir ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jam 4.00 petang kelmarin.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut menaiki bot pam berasingan untuk memancing dan menangkap ikan di pesisir pantai sekitar jam 5.30 pagi kelmarin.

“Mangsa bagaimanapun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah pada jam 6.45 petang sebelum kejadian dimaklumkan kepada agensi keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata salah seorang mangsa iaitu Abdullah Mohd Nasir berumur sekitar 20 tahun berjaya ditemukan oleh nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi kejadian.


Pasukan penyelamat giat melaksanakan operasi mencari seorang lelaki yang dipercayai hilang selepas disambar petir ketika keluar manangkap ikan bersama anaknya di di perairan Pulau Dinawan, Kinarut semalam.
Tambahnya mangsa segera dibawa ke hospital bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar kira-kira jam 7 malam dan bapa mangsa, Mohd Nasir Abdul Nasir, 62 masih belum ditemui.

Rosli berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) segera mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sebaik memperoleh maklumat melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu jam 8 malam kelmarin.

“Usaha SAR diteruskan bagi mengesan mangsa dengan koordinasi Maritim Malaysia melibatkan atur gerak Bot Pengawal 39 serta dibantu beberapa aset daripada agensi lain termasuklah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi SAR sudah memasuki hari kedua dengan keluasan pencarian 50 batu nautika persegi dan setakat ini masih belum menemui tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan, pastikan keadaan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat yang lain lokasi dan tujuan kita dilaut.

“Komuniti maritim dipohon untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan kegiatan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi MN Sabah 088-387774 atau 999 (MERS),” katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.