Covid-19: Angka kematian di Sabah meningkat

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun



Kota Kinabalu: Sabah merekodkan peningkatan kematian Covid-19 pada Isnin dengan 25 kematian direkodkan di seluruh negeri, di mana Kota Kinabalu mencatatkan angka tertinggi dengan 12 kematian.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 3 kematian direkodkan di Tawau dan masing-masing 2 di Beaufort, Papar, Penampang serta Putatan, dan masing-masing 1 di Keningau dan Tambunan.

Negeri ini merekodkan 2,474 kes baharu di mana Kota Kinabalu mencatat angka tertinggi dengan 671 kes, disusuli Penampang dengan 204 kes, Tawau (196 kes), Sandakan (185 kes), Papar (181 kes), Tuaran (176 kes), Lahad Datu (132 kes) dan Keningau (113 kes).

“Kes di Kota Kinabalu menurun 212 kes daripada 883 kes pada Ahad kepada 671 kes pada Isnin, bagaimanapun kes di Papar meningkat 132 dari 49 kes pada Ahad kepada 181 kes pada Isnin,” kata Masidi dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Tidak ada kluster baharu dikenal pasti.

Mengenai jumlah kes di Sabah, Masidi berkata 67 peratus adalah kes tertunggak, dengan 311 kes dari lima hari lalu, 254 kes dari empat hingga lima hari lalu dan 1,102 kes dari dua hingga tiga hari lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rose Nani Mudin dilaporkan oleh Astro Awani pada Isnin sebagai berkata bahawa tunggakan akan dikurangkan dalam dua hingga tiga hari.

Beliau berkata profesional kesihatan bekerja lebih masa untuk menjalankan ujian di makmal awam dan turut menggunakan makmal swasta untuk mempercepatkan ujian.

Masidi berkata kontak rapat terus menjadi penyumbang terbesar dengan 1,609 kes, membentuk 65.04 peratus daripada jumlah kes, sementara kes bergejala membentuk 22.51 peratus daripada jumlah kes dengan 557 kes.

Daripada 2,474 kes itu, 32 kes melibatkan bayi berumur kurang setahun, 197 melibatkan satu hingga lima tahun, 475 melibatkan enam hingga 17 tahun, 1,577 melibatkan 18 hingga 59 tahun, sementara 193 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Jumlah kes itu turut terdiri daripada 2,147 rakyat Malaysia dan 327 bukan warga Malaysia, 2453 kes tempatan dan 22 kes import, sementara 1,600 belum menerima vaksin dan 378 sudah melengkapkan dua dos.

Masidi berkata jangkitan kategori dua membentuk lebih 60 peratus daripada jumlah kes dengan 1,587 kes, sementara 823 berada dalam kategori satu, 12 di kategori tiga dan lapan dalam kategori lima. Tidak ada kes baharu dalam kategori empat.

Kira-kira 1,743 pesakit Covid-19 telah discaj dari hospital sementara 4,774 pesakit ketika ini sedang menerima rawatan di hospital dan pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah (PKRC).

Masidi berkata 181 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 83 memerlukan alat bantuan pernafasan, tambahnya kapasiti katil Sabah ialah 6,879 unit dengan kadar penggunaan 69.23 peratus.

Mengenai program imunisasi Sabah, Masidi berkata 52.4 peratus daripada populasi dewasa Sabah sudah menerima dos pertama, sementara 30.1 peratus sudah menerima vaksin lengkap setakat 22 Ogos.

Di bawah fasa dua, 16,563 individu telah menerima dos pertama pada Isnin, membawa jumlah keseluruhan kepada 1,412,242 sementara 24,726 menerima dos kedua, membawa jumlah keseluruhannya kepada 795,653.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.