Covid-19: Segera bertindak jika ada gejala - Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun



Kota Kinabalu: Masyarakat digesa mengambil tindakan segera sekiranya mengalami simptom Covid-19.

Membuat gesaan itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, berkata ini bagi mengelak jangkitan kepada orang sekeliling, termasuk ahli keluarga secara tanpa sedar.

“Sesiapa yang mempunyai gejala Covid-19 diminta membuat saringan kendiri atau datang ke pusat kesihatan yang terdekat untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kadar segera dan menjalani pengasingan diri atau kuarantin serta merta,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Sejak akhir-akhir ini, katanya, banyak jangkitan baharu berlaku secara tidak disedari oleh pembawa yang tidak bergejala atau bergejala ringan.

Sementara itu, satu kluster komuniti baharu dikenal pasti di Tongod, dinamakan Kluster Kg Penangah, yang berpunca daripada seorang petani lelaki berumur 76 tahun, yang membuat perjalanan rentas daerah ke Sandakan untuk menerima rawatan untuk penyakit kulit yang dialaminya, pada 12 Ogos.

Masidi berkata kes indeks itu mula mengalami gejala pada 15 Ogos, dan diuji positif di Klinik Kesihatan Penangah, pada 17 Ogos.

“Siasatan lanjut mendapati 14 lagi kes positif dalam kalangan kontak rapatnya di dalam kawasan kediaman kes indeks. Terdapat 35 kes kumulatif dalam kluster itu setakat ini,” katanya.

Sementara itu, jumlah kes di Kota Kinabalu melonjak ke angka tertinggi iaitu 883 pada Ahad, menjadikan jumlah kes di Sabah kepada 2,638 kes, sementara 16 kematian direkodkan di seluruh Sabah iaitu enam di Kota Kinabalu, tiga di Tawau, dua di Keningau dan masing-masing satu di Penampang, Papar dan Putatan.

Masidi berkata kira-kira 62 peratus jumlah kes terdiri daripada kes-kes tertunggak, dengan 369 kes dari lebih lima hari lalu, 378 kes adalah empat hari lalu dan 892 kes adalah dari dua hari lalu.

KK mencatat jumlah tertinggi dengan 883 kes, iaitu pertambahan 214 kes daripada 669 kes Sabtu lalu, disusuli Tawau (259), Penampang (210), Tuaran (193), Sandakan (178) dan Kinabatangan (111).

Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan, yang ketika ini diklasifikasikan sebagai satu daerah, merekodkan 1,187 kes secara kumulatif.

Masidi berkata 66 peratus daripada kes di KK merupakan kontak rapat sementara 25 peratus adalah kes bergejala.

Secara keseluruhan, kontak rapat terus menjadi penyumbang terbesar dengan 1,639 kes, membentuk 62.13 peratus daripada jumlah kes, sementara kes bergejala membentuk 23.16 peratus daripada jumlah kes dengan 611 kes.

Daripada 2,638 jumlah kes itu, 30 kes melibatkan bayi berumur kurang setahun, 210 melibatkan satu hingga lima tahun, 503 melibatkan enam hingga 17 tahun, 1,716 melibatkan 18-59 tahun, sementara 179 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Jumlah kes itu juga terdiri daripada 2,250 warga Malaysia dan 388 bukan warga Malaysia, 2,553 kes tempatan dan 85 kes import, sementara 1701 belum divaksin dan 349 sudah melengkapkan dua dos.

Masidi berkata jangkitan kategori dua membentuk 58.8 peratus daripada jumlah kes dengan 1,550 kes, sementara 991 dalam kategori satu, 12 dalam kategori tiga, enam dalam kategori empat dan tujuh dalam kategori lima.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.