GRS terus dipertahan selaras agenda 'Keluarga Malaysia': Bung Moktar

Timbalan Pengerusi I GRS merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.



KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus dipertahan selaras dengan agenda 'Keluarga Malaysia' yang menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi krisis dihadapi negara, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Pengerusi I GRS itu berkata, justeru, kerajaan Sabah diterajui GRS akan mendukung usaha serta kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menjayakan agenda 'Keluarga Malaysia' bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, pendekatan 'Keluarga Malaysia' sangat tepat pada masanya untuk menstabilkan negara di saat krisis politik, kesihatan serta situasi ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia akibat penularan pandemik Covid-19.

"Pengenalan dan pendekatan baharu ‘Keluarga Malaysia’ amat penting untuk seluruh rakyat negara ini terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi membangun negara.

“Keluarga Malaysia juga menuntut muafakat serta semangat solidariti semua pihak untuk saling berganding bahu. Ikatan serta nilai kekeluargaan ini amat penting ketika kita berhadapan dengan suasana getir untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya pada Ahad memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ bagi mengajak semua pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani masalah penularan pandemik Covid-19 secara menyeluruh.

Bung Moktar juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, keterbukaan Ismail Sabri terbukti melalui rentas parti dengan mempelawa pembangkang melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 yang sewajarnya disambut baik oleh pembangkang.

“Semua pihak perlu bersatu melupakan segala perbezaaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat," tambahnya. - Bernama

Post a Comment

Previous Post Next Post