Jangan adakan kenduri selepas pengkebumian

Pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua kampung serta mukim digesa agar sentiasa mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing agar tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengkebumian termasuk kenduri, tahlil dan seumpamanya.



Kota Kinabalu: Pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua kampung serta mukim digesa agar sentiasa mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing agar tidak mengadakan sebarang majlis selepas pengkebumian termasuk kenduri, tahlil dan seumpamanya.

“Ini penting untuk mengelak penularan jangkitan yang berpotensi mencetuskan kluster baharu yang terus bertambah ketika ini, khususnya berkaitan penganjuran majlis sosial,” kata Jurucakap rasmi Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar), dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Beliau berkata mereka yang melanggar prosedur operasi standard dengan menganjurkan majlis-majlis sosial boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Walaupun Sabah menyaksikan penurunan bilangan kes positif pada Rabu dengan jumlah 949, Negeri ini terus mendaftarkan kluster baharu, dengan yang terbaharu di Kota Belud (kluster Tampasuk) membabitkan jangkitan dalam komuniti, dipercayai berpunca dari satu majlis berkaitan pengkebumian.

Kes indeks membabitkan seorang kakitangan bank berumur 32 tahun yang diuji positif Covid-19 pada 26 Julai selepas menunjukkan simptom-simptom demam, sakit badan dan sakit kerongkong.

Seramai 159 kontak rapat telah disaring di mana 29 didapati positif Covid-19.

Sementara itu, seramai 413 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar dari hospital, sementara 994 masih dirawat di hospital, 3,458 berada di pusat-pusat kuarantin berisiko rendah, 48 dikuarantin di pusat tahanan sementara/penjara dan lapan di kemudahan swasta.

Seramai 117 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 45 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kapasiti keseluruhan katil-katil di hospital, pusat kuarantin dan pusat tahanan sementara ialah 6,645 unit dengan kadar penggunaan 67.72 peratus.

Setakat 4 Julai, pecahan komposisi kes positif ialah 917 penduduk tempatan, lima membabitkan jangkitan import (masing-masing satu dari Selangor, Sarawak dan Pahang serta dua dari Kelantan) dan 27 membabitkan tahanan.

Pecahan komposisi bagi kewarganegaraan ialah 805 rakyat Malaysia dan 144 membabitkan bukan warganegara. Dari 949 kes baharu pada Rabu, seramai 84 orang telah lengkap menerima vaksin, 102 telah menerima dos pertama, 523 belum divaksin dan 240 tidak layak menerima vaksin.

Dari 949 kes pada Rabu, mereka yang berumur antara 18 hingga 59 tahun direkodkan paling ramai dengan 635 kes, disusuli mereka yang berumur 6 – 17 tahun (175 kes), 60 tahun ke atas (74 kes), 1 – 5 tahun (57 kes) dan mereka yang berumur di bawah setahun merekodkan lapan kes.

Sementara itu, empat lokaliti di tiga daerah telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) selama 14 hari bermula esok (6 Ogos), iaitu Perumahan Ladang Mostyn dan Kg Kasnuri (Kunak), Kg Kuala Mengalong (Sipitang) dan Kg Tanjung Aru Lama serta Universiti Apartment I, kedua-duanya di Kota Kinabalu.

Tiga lokaliti akan menamatkan PKPDnya seperti jadual hari ini iaitu Kondominium 1Borneo (Kota Kinabalu) serta Taman Merpati dan Kg Istimewa Batu Sapi di Sandakan

Sementara itu, vaksinasi bagi Fasa 2 Dos 1 (PICK), sebanyak 39,120 dos diberikan menjadikan jumlah keseluruhan penerima kepada 900,391 orang, sementara Fasa 2 Dos 2 mendaftarkan 7,720 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif seramai 357,063 orang.

Seramai 12,182 orang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif kepada 1,221,465 atau 44.3 peratus.

Sementara itu, 33 kompaun dikeluarkan pada Rabu di seluruh Sabah dengan kegagalan memakai pelitup muka mencatat kes paling banyak dengan 11, disusuli dengan kenderaan lebih penumpang (10 kes).

Sabah merekodkan enam kematian berkaitan Covid-19, iaitu dua di sini dan dua di Tawau, serta masing-masing satu di Papar dan Sipitang.

Kadar pematuhan SOP keseluruhan ialah 95.8 peratus.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.