Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun |
KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan 1,665 kes baharu COVID-19 dengan penurunan sebanyak 87 kes berbanding hari sebelumnya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tidak banyak perubahan kes baharu hari ini berbanding semalam.
"Penurunan kes hari ini dipengaruhi oleh penurunan ketara sejumlah 229 kes di Kota Kinabalu. Tetapi ini bukan satu tren penurunan yang kekal kerana kes-kes baharu sentiasa turun naik setiap hari.
"Jumlah kes harian di Sandakan naik dua kali ganda ke 244 dimana 65.2 peratus adalah melalui saringan kontak rapat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes di Kinabatangan naik mendadak daripada 15 ke 152 kes hasil saringan di kalangan penduduk di Kluster Tangkuyan (128).
Katanya, Penampang berkurangan 100 kes semalam tetapi Papar menambah 38 kes baharu.
"Kes baharu di Tuaran juga berkurangan sebanyak 55 kes dan Keningau turun 31 kes. Tongod menambah 21 kes, Tambunan 18 dan Kota Belud 21.
"Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah dengan 915, saringan bergejala 390 dan kes-kes daripada kluster 226,"katanya.
Menurutnya, hampir 37 peratus kes di Kota Kinabalu adalah daripada saringan bergejala, 31.4 peratus di Tawau, 41.4 peratus di Penampang dan 44.6 peratus di Tuaran.
Dalam pada itu katanya, 386 kes daripada semua pesakit hari ini adalah dalam kategori 1, 751 dalam kategori 2 dan 517 masih dalam siasatan.
"Lapan orang dalam kategori 3, dua dalam kategori 4 dan satu orang dalam kategori 5.
"Sehingga 14 Ogos 2021, 1,251,184 daripada semua penduduk dewasa Sabah telah pun memperolehi satu dos suntikan vaksin dan 599,823 orang telah melengkapkan suntikan dua dos.
"Peratusan penerima dua dos lengkap dijangka bertambah minggu hadapan apabila lebih ramai penduduk akan memperolehi dos kedua mereka," katanya.
Post a Comment