Tindakan diberikan individu kunjungi pasaraya, restoran tanpa 2 dos bulan depan

Pihak berkuasa Tawau akan mengambil tindakan keatas individu yang mengunjungi pasaraya dan dine-in dalam restoran tanpa lengkap dua dos vaksin selepas tamat tempoh satu bulan diberikan.



Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Arnold Joibi berkata pihaknya sudah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lengkap dua dos di tempat-tempat terlibat.

“Namun, ia hanya proses mendidik dan membiasakan penduduk di daerah ini berkenaan SOP tersebut sebelum dilaksanakan sepenuhnya bulan hadapan.

“Kami berharap semua penduduk segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin supaya membolehkan mereka mengunjungi premis perniagaan tanpa sebarang masalah,”katanya.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata demikian semasa melawat program Mobilisasi Vaksin Komuniti di PPR Taman Sri Titingan, di sini hari ini.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Arnold Joibi
Katanya, pihak majikan di pasaraya dan restoran juga perlu memastikan setiap pekerja mereka lengkap vaksin dua dos sebelum dibenarkan datang bekerja.

“Kami mahukan setiap majikan mengambil inisiatif untuk menggalakkan semua pekerjanya tampil mengambil suntikan vaksin dengan segera.

“Bagi saya, satu bulan adalah tempoh yang cukup panjang untuk membuat persediaan sebelum SOP itu dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kes COVID-19, katanya lebih 20 lokaliti sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di daerah ini.

“Kes COVID-19 memang meningkat dan banyak kawasan yang sudah dikenakan PKPD bagi mengelak penularan wabak terus berlaku.

“Pihak JPBD Tawau juga sudah membawa perkembangan COVID-19 dan lokaliti yang dikenakan PKPD di daerah ini ke mesyuarat negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau ditanya mengenai status Hospital Tawau yang dikatakan sudah penuh, Arnold berkata pihaknya belum mendapat maklumat lanjut mengenai situasi di Hospital tersebut.

“Setakat ini pihak JPBD belum menerima sebarang maklumat mengenai status Hospital Tawau yang sudah penuh seperti yang tular di media sosial.

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku demikian, kami akan cari kaedah untuk menyelesaikannya dan mungkin kita akan gunakan Hospital Kunak,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post