Hajiji mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri pada hari Khamis. |
KOTA KINABALU: Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan akan dikenakan tindakan tegas jika didapati menjadi punca kepada kelewatan pelaksanaan projek pembangunan yang sudah diwartakan untuk rakyat Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor memberi amaran tegas supaya pihak berkenaan tidak menggunakan alasan bekerja dari rumah akibat COVID-19 hingga tidak dapat melaksanakan tugas.
Katanya, hidup dalam keadaan pandemik adalah keadaan yang perlu dihadapi dalam kehidupan dunia sekarang.
Hajiji memberikan peringatan tegas selepas dimaklumkan pelbagai projek yang diluluskan oleh kerajaan Persekutuan untuk Sabah masih di peringkat pra-pelaksanaan hampir pada suku terakhir tahun ini.
"Sekarang sudah bulan Ogos, bagaimana kita dapat menyelesaikan projek-projek ini? Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan kita dan memberikan peruntukannya, namun projek-projek itu tidak dapat dilaksanakan.
MESYUARAT: Hajiji (dua kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat MTPng. Turut kelihatan Safar (kiri), Dzulkapli (kanan), dan Noor Alam Khan (dua kanan). |
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPng) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.
Terdahulu, Hajiji berkata, tempoh masa perlu ditetapkan untuk pelaksanaan semua projek pembangunan yang dibiayai kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Katanya, memang tidak diragukan lagi pelaksanaan projek pembangunan tahun ini agak lambat setelah berlakunya pandemik.
Namun pihaknya juga berharap rancangan kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula projek pembangunan yang diluluskan tetapi belum dilancarkan tidak akan memberi kesan besar kepada Sabah.
"Perkara ini tidak patut berlarutan, sementara masalah lain tetap tidak dapat diselesaikan seperti masalah perkhidmatan, jalan raya dan infrastruktur.
"Kita mesti bertindak sebagai satu pasukan dan melihat keperluan masyarakat secara menyeluruh. Contohnya, sekolah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
"Segala-galanya mesti dirancang dengan cara yang paling tepat untuk memastikan perkhidmatan penyampaian yang lancar kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, menjadi keutamaan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan kerana peratusan golongan miskin dan miskin tegar masih tinggi di negeri ini.
Katanya, sekarang adalah masa untuk eratkan kerjasama dan mengkaji serta meningkatkan semula peraturan yang sudah lapuk dan tidak releven serta sesuai dengan peredaran masa.
Beliau juga meminta semua agensi kerajaan untuk memanfaatkan kepesatan teknologi dalam melonjakkan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan ia menjadi pemudah cara khususnya kepada sektor swasta yang juga penggerak utama ekonomi negara.
Menurutnya, bagi prestasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) negeri Sabah setakat 8 Ogos tahun ini, sejumlah RM1.459 bilion atau 32.31 peratus daripada RM4.517 bilion yang diluluskan sudah dibelanjakan di bawah Pelan Pusingan Pertama RMKe-12.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Pegawai Pembangunan Negeri Sabah Noor Alam Khan Wahid Khan selain turut disertai secara maya oleh kementerian lain.
Post a Comment