Kita harus bekerjasama untuk membawa negara ini maju ke hadapan sebagai tanda komitmen solidariti kita - Maximus

MAXIMUS J . ONGKILI



KOTA KINABALU: Pembangkang harus mempertimbangkan tujuh cadangan kerjasama yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kestabilan politik negara.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili berkata, pembangkang harus merebut peluang ini dan mendahulukan keperluan negara.

Beliau berkata, ini peluang untuk membina kerjasama antara parti dan ia akan membantu mengembalikan negara ke landasan yang lebih stabil dalam usaha memulihkan kesihatan dan ekonomi negara.

“Maka, saya menyeru rakan-rakan saya dari pihak pembangkang untuk merebut peluang ini dan mendahulukan keperluan negara serta mengutamakan kestabilan ekonomi serta politik di negara ini.

“Kita harus bekerjasama untuk membawa negara ini maju ke hadapan sebagai tanda komitmen solidariti kita,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Maximus, berdasarkan keadaan politik semasa, semua pihak perlu bekerjasama dan mengenepikan perbezaan fahaman politik bersesuaian dengan slogan ‘rakyat didahulukan’.

Pada masa ini, tanggungjawab yang lebih penting adalah membendung penularan Covid-19, menyelamatkan nyawa dan memulihkan ekonomi negara.

Jelas beliau, ini buka masa untuk bertengkar soal siapa yang patut menjadi Perdana Menteri. Perkara itu boleh diselesaikan melalui pilihan raya umum (PRU) dengan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

“Ketika ini rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada pihak kerajaan dan bukannya turun mengundi terutama semasa pandemik Covid-19 masih berada pada tahap yang membimbangkan,” katanya.

Tambah beliau, semasa kerajaan rentas parti ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan semula status dan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Maximus berkata, beliau yakin pindaan itu akan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

Post a Comment

Previous Post Next Post