Kluster baru di Sandakan melibatkan polis, tahanan lokap; 50 positif

Sumber: Jurucakap krisis pandemik Sabah Datuk Masidi Manjun.



KOTA KINABALU: Satu kluster Covid-19 baharu telah dikesan melibatkan anggota polis dan tahanan lokap di ibu pejabat polis Sandakan (IPD Sandakan), kata jurucakap krisis pandemik Sabah Datuk Masidi Manjun.

Menurut beliau, kes indeks merupakan orang kena tangkap (OKT) lelaki, 63, yang disahkan positif COVID-19 (RTK-Antigen) dalam saringan OKT dan didaftarkan pada 05 Ogos 2021 hasil saringan OKT.

"Saringan kontak dijalankan dengan mengambil 122 sampel," kata Masidi dalam kenyataan media.

"Daripada jumlah tersebut, 50 sampel dikesan positif, termasuk 39 kes baharu hari ini iaitu 35 OKT dan empat anggota IPD Sandakan. Manakala, baki 71 sampel didapati negatif."

Satu lagi himpunan jangkitan, Kluster Sarikan di Nabawan, merupakan kluster jenis komuniti.

"Kes indeks adalah lelaki, 34, yang disahkan positif COVID-19 pada 03 Ogos 2021 setelah bergejala demam, sakit tekak, selesema, batuk, hilang deria rasa dan bau sejak 27 Julai 2021," kata Masidi.

"Daripada 48 kontak yang disaring, 14 individu dikesan positif termasuk satu kes baharu hari ini dan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan.

"Manakala, 34 individu masih menunggu keputusan saringan pertama."

Post a Comment

Previous Post Next Post