Maritim Malaysia tumpaskan sindiket bawa masuk PTI ke Sabah

11 suspek yang ditangkap oleh APMM kerana cuba memasuki ibu negara dari Pulau Banggi secara haram.

Sindiket Seludup Masuk PATI Tumpas



KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah berjaya menumpaskan sindiket yang membawa masuk Pendatang Tanpa Izin (PTI) di perairan Kota Kinabalu dalam satu operasi khas semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata tangkapan dibuat hasil maklumat risikan dan intipan berkenaan kegiatan sindiket PTI yang menggunakan bot pancing tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa dalam membawa masuk dan keluar PTI di perairan Sabah.

“Bertindak dengan maklumat, satu operasi khas dilaksanakan bagi menyerbu sebuah bot pancing tempatan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.0 batu nautika barat laut Pulau Sepanggar kira-kira jam 11.30 malam.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot itu menemukan 11 individu termasuk tekong, lima penumpang lelaki termasuk seorang remaja perempuan dikenal pasti sebagai warga Filipina yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Empat penumpang lain adalah warga tempatan termasuk seorang wanita berumur sembilan hingga 61 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


TAHAN: Sebahagian individu yang ditahan dalam bot pancing tempatan dalam satu operasi khas di perairan Kota Kinabalu.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, sindiket ini menggunakan bot pancing sebagai kaedah pengangkutan pergi dan balik dari Kota Kinabalu ke Pulau Banggi yang terletak bersempadan dengan Filipina bagi menggaburi mata pihak berkuasa.

Katanya bot, tekong dan penumpang dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 8(2) Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Dalam kejadian berasingan, sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di 1.2 batu nautika barat laut Tanjung Gaya kira-kira jam 12.05 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan membawa kepada penahanan tiga kru lelaki berumur antara 16 hingga 33 tahun kerana dipercayai memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bom.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan jika didapati bersalah pesalah boleh dikenakan denda mengikut Sekyen 26(1)(b) tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.


RAMPAS: Ikan dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan dirampas daripada suspek.
Menurutnya aktiviti mengebom ikan ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara malah memberi kesan buruk terhadap ekosistem laut kerana boleh memusnahkan batu karang yang menjadi habitat kepada ikan-ikan kecil dan hidupan marin yang lain.

“Pelaku juga boleh mengalami kecederaan dan kematian akibat kegiatan ini dan turut membahayakan individu yang sedang melakukan aktiviti selaman.


“Maritim Malaysia akan terus melakukan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan PTI dan bom ikan ini manakala kawalan sempadan perairan negeri Sabah juga akan terus diperkasakan agar aktiviti kemasukan PTI dapat dibanteras,” katanya.

Tambahnya Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku dipersekitaran perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774.

Post a Comment

Previous Post Next Post