‘Pemberian vaksin Walk-In hingga Oktober’





SANDAKAN: Orang ramai di daerah ini diminta tidak berebut untuk mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Dewan Masyarakat Sandakan kerana program itu akan dadakan sehingga Oktober.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr.Johari Awang Besar, menasihati orang ramai yang sudah mendapatkan nombor giliran agar balik dahulu dan datang semula pada sebelah petang.

“Kita risau akan berlaku penularan wabak yang tidak sepatutnya,” katanya pada Khamis.

Beliau mengulas kejadian di mana orang ramai berbaris panjang sehingga ke tembok laut ketika mendapatkan suntikan vaksin di PPV itu pada pagi Khamis.

Keadaan itu berlaku kerana ramai yang datang awal untuk program suntikan jumpa terus itu tanpa mengikut masa ditetapkan iaitu pada jam 1.00 petang.


ANTARA warganegara yang datang ke PPV Dewan Aktiviti Pelajar SMJK Tiong Hua.
“Kami faham mereka datang kerana mahu mengambil nombor giliran awal,” katanya sambil mengharapkan orang ramai dapat memberikan kerja sama bagi mengelak penularan pandemik itu.

Beliau ditemui media ketika melakukan tinjauan di PPV Dewan Aktiviti Pelajar SMJK Tiong Hua yang baru dibuka pada Khamis.

Ia juga adalah sebuah PPV Integrasi atau PPVI untuk jumpa terus bagi warganegara dan bukan warganegara yang slot masing-masing diasingkan pada sesi pagi dan petang.

PPV berkenaan sebelum ini dibuka hanya untuk janji temu tetapi sejak beberapa hari lepas, ia mula dibuka untuk jumpa terus dan serta untuk bukan warganegara.

Sandakan mencatatkan 345 kes positif Covid-19 pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Faridah Giau dan wakil Persatuan Masyarakat Cina yang juga memberi kerjasama untuk penyediaan dewan PPVI itu yang mana proses pemberian vaksin di PPVI ini dikendalikan petugas kesihatan swasta dan sukarelawan di sini.

Setakat ini, terdapat dua PPVI yang memberikan vaksin secara jumpa terus termasuk Dewan Serbaguna Libaran dan PPVI yang baru dibuka itu.

Dalam perancangan, dua lagi PPV akan dibuka iaitu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan dan PPR Taman Batu Sapi. Perkara ini akan diumumkan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dalam masa terdekat.

Lain-lain PPV sedia ada di sini ialah di Dewan Hakka, Dewan Serbaguna Libaran dan Dewan SM Yu Yuan.

Dengan bertambahnya dua lagi PPV itu, jelas, kata Johari, ia akan dapat memberikan khidmat pemberian vaksin kepada kawasan Libaran, Sandakan dan Batu Sapi dan dianggarkan 7,000 dos sehari dapat diberikan dalam usaha mencapai 80 peratus penerima dos 1 di sini, menjelang hujung September.

Mengenai sambutan PPV secara jumpa terus itu, beliau berkata sambutannya sangat baik di mana kesemua dos dapat diberikan berbanding semasa pemberian melalui janji temu mySejahtera.

“Ini juga berkemungkinan atas faktor kesedaran orang ramai berkenaan kepentingan vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, Sandakan juga sudah menerima kira-kira 30,000 vaksin CanSino.

“Pihak kesihatan dan CITF akan memberikan suntikan vaksin jenis CanSino di kawasan pulau-pulau dalam kawasan Batu Sapi yang telah dilaksanakan program jangkauan luar sebelum ini serta kawasan ladang sekitar Sandakan dan juga Kampung Bahagia yang merupakan kawasan penempatan semula selain kawasan perumahan atas air di Batu Sapi.

Post a Comment

Previous Post Next Post