Pemimpan Sabah harap Ismail Sabri tangani masalah rakyat, tidak lupakan MA63

Datuk Seri Maximus Ongkili menyifatkan pengalaman dimiliki Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan selama 17 bulan dalam pentadbiran sebelum ini nyata menyerlahkan kepimpinan dan kemampuannya. GAMBAR FAIL



KUALA LUMPUR: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berharap masalah semasa yang membelenggu rakyat dapat diberikan tumpuan dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

Presidennya, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, kabinet baharu yang akan dilantik juga perlu beri tumpuan kepada isu Sabah dan Sarawak termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

‘’Jadi saya harap dengan penyelesaian kemelut politik itu, bolehlah kita menumpukan perhatian kepada isu-isu dan masalah yang kita hadapi sekarang, iaitu pandemik COVID-19 kerana kebajikan rakyat dan ekonomi.

‘’Dalam masa yang sama, saya berharap kabinet baru akan mengambil kira atau memberi tumpuan kepada isu Sabah dan Sarawak khususnya hak hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga MA63,’’ katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) wajar diberikan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak.


ARTHUR JOSEPH KURUP, JEFFREY KITINGAN dan MAXIMUS ONGKILI
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili menyifatkan pengalaman dimiliki Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan selama 17 bulan dalam pentadbiran sebelum ini nyata menyerlahkan kepimpinan dan kemampuannya.

“Sebelum ini, dia berjaya membuktikan tokoh kepimpinannya dan memainkan peranan sebagai Menteri Kanan Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri dalam memerangi pandemik COVID-19.

‘’Kami berkeyakinan Ismail Sabri mampu menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri dengan baik dan PBS akan terus bekerjasama dalam perkara-perkara melibatkan pembangunan dan keselamatan.

‘’Selain itu, kerjasama ini pastinya akan melibatkan keperluan keselamatan di Sabah dan Sarawak selain memberi tumpuan kepada penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),’’ katanya. Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.

Pemimpin Sabah sedia beri kerjasama dengan PM baharu

Pemimpin politik Sabah sedia memberi kerjasama erat dengan Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet yang bakal dibentuk.

Pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing menyifatkan pelantikan Ismail Sabri sebagai pilihan yang tepat berdasarkan sifat kepimpinan dan kemampuannya sebagai menteri kanan sebelum ini.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, sepanjang 17 bulan lalu, Ismail Sabri berpeluang menunjukkan sifat kepimpinan selaku Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kanan (Keselamatan). Malah, beliau memainkan peranan utama menguruskan pandemik Covid-19.

“Kami yakin Ismail Sabri akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan baik dan PBS sedia bekerjasama dengan beliau terutama dalam isu keselamatan di Sabah dan Sarawak serta menyelesaikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tertangguh.

“Ismail Sabri sering bercakap tentang usaha memenuhi tuntutan MA63 dan menyokong keperluan Sabah dan Sarawak dan sekarang beliau akan mengambil alih tugas mempengerusikan Majlis Khas MA63 sebagai Perdana Menteri baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maximus, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu ini berkata, tugas yang lebih penting ketika ini sebagai Perdana Menteri dan kerajaan adalah menangi peperangan terhadap pandemik Covid-19.

Sementara itu, Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pelantikan Ismail Sabri itu akan membawa kepada kerjasama berterusan antara kerajaan Pusat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk dalam mengembalikan hak-hak Sabah.

“Selepas beberapa minggu pergolakan politik berlaku, saya harap isu siapa yang mendapat majoriti tidak akan dibangkitkan lagi kerana semua parti harus bekerjasama bagi meneruskan usaha menangani Covid-19.

“Saya juga mencadangkan Perdana Menteri dan kerajaan baharu akan mempertimbangkan bilik perang bipartisan untuk menangani Covid-19 dan menguruskan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Turut senada menyokong pelantikan Ismail Sabri ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau yakin dengan kebolehan Ismail Sabri untuk menerajui negara berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan.

“Ketia ini, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menghadapi cabaran masa kini. Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti perlu memberi fokus kepada usaha-usaha untuk memerangi pandemik Covid-19, memulihkan semula ekonomi negara serta membantu rakyat berdepan dengan detik sukar ini.

“Semua parti-parti politik diminta untuk mengenepikan perbezaan dan kembali bertaut demi rakyat bagi menyelesaikan isu-isu semasa yang sedang melanda negara,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post