KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepakat untuk terus mengekalkan kerjasama di peringkat negeri Sabah bagi mendukung mandat yang rakyat berikan semasa Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi GRS berkata, semua pemimpin GRS sebulat suara untuk terus bekerjasama bagi membolehkan mereka terus memerintah di negeri ini.
“Saya telah berhubung dengan semua pemimpin parti komponen GRS berkaitan perkembangan politik terkini di Kuala Lumpur.
“Kami sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan negeri yang memerintah hari ini akan diteruskan.
“Kami akan terus mendukung mandat yang diberikan kepada kami dalam PRN yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hajiji, semua pemimpin GRS juga sepakat untuk mengambil apa jua langkah yang perlu untuk memantapkan dan memperkuatkan lagi kerajaan GRS.
“Saya berdoa agar kemelut politik di Kuala Lumpur dapat diselesaikan dengan segera secara baik dan saksama agar kita dapat memberi tumpuan kepada usaha menangani ancaman pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.
Kemelut politik di Kuala Lumpur bermula pada 29 Julai apabila Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan kenyataan tentang rasa dukacita terhadap tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan daripadanya.
Susulan kenyataan Agong itu, Setiausaha Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan mengenai penangguhan hari terakhir persidangan khas Dewan Rakyat semalam (2 Ogos).
Tindakan menangguhkan sidang Parlimen itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang kemudian berhimpun di Dataran Merdeka semalam kerana tidak dibenarkan memasuki pekarangan Parlimen.
Bagaimanapun, cubaan mereka memasuki pekarangan Parlimen tidak berjaya susulan penutupan jalan utama menuju ke Parlimen.
Post a Comment